FOTO Reuters
FOTO Reuters


Beijing (China): Ri Jong-chol iaitu suspek kes pembunuhan Kim Jong-nam mendakwa dia adalah mangsa konspirasi Malaysia yang hendak merosakkan maruah Korea Utara.

Warga Korea Utara itu menuduh Malaysia menggunakan cara paksaan untuk mendapakan pengakuan daripadanya.

Jong-chol yang diusir keluar dari Malaysia berkata demikian selepas ditemui di luar kedutaan Korea Utara di Beijing.

Jong-chol ditahan di kondominium di Jalan Klang Lama bagi membantu siasatan kematian Jong-nam yang menggunakan nama 'Kim Chol' dalam pasportnya.

Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), 13 Februari lalu.

Jong-chol turut menjelaskan bahawa dia tidak berada di lapangan terbang pada hari pembunuhan itu dan tidak tahu langsung mengenai dakwaan keretanya digunakan dalam kejadian itu.

Jong-chol singgah di Beijing dalam perjalan pulangnya ke Korea Utara selepas diusir dari Malaysia, semalam.

Dia tiba di lapangan terbang antarabangsa Beijing, awal pagi Sabtu.

Dia ‘disambut’ oleh wartawan Korea Selatan dan Jepun.

Tetapi dia dibawa daripada kawasan tumpuan media oleh Polis China sebelum dia boleh membuat sebarang kenyataan.

Ketika di luar bangunan kedutaan, Jong-chol memberitahu dia diberikan beberapa bukti palsu manakala Polis Malaysia menujukkan beberapa gambar keluarganya ditahan.

“Saya tahu ini adalah konspirasi, perancangan, cuba merosakkan maruah negara saya,” katanya.

Bagaimanapun, perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat mendakwa pembunuhan itu dilakukan oleh agen Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 7:52 AM