Berlin: Bayern Munich yang dibimbing Carlo Ancelotti akan menentang pasukan penuh bermasalah, Hamburg hari ini dengan jurulatih Bruno Labbadia berdepan risiko pemecatan andai mengalami tiga kekalahan secara berturut-turut.

Kekalahan 0-1 Hamburg di Freiburg selepas dibelasah 0-4 RB Leipzig minggu lalu membuatkan kedudukan Labbadia hangat diperkatakan.

Labbadia mengambil alih tugas selaku pengurus di Hamburg sejak April 2015 tetapi jika tewas buat kali ketiga apabila bertemu skuad Ancelotti malam ini, ia mungkin menjadi aksi terakhir beliau.

Statistik pertemuan dengan Bayern pula nyata tidak memihak Hamburg. Mereka tewas 0-5, 0-8 dan 2-9 di tangan kelab gergasi Munich itu sejak tiga tahun lalu dan Labbadia mungkin ditunjukkan pintu keluar walaupun baru mengendalikan pasukannya lima kali musim ini.

Kali terakhir Hamburg mengalahkan Bayern pada 2009 dan mereka tidak pernah menang ke atas gergasi Bavaria itu sejak 13 perlawanan lalu.

“Saya akan memikul tanggungjawab itu dan sedia dipecat jika keputusan perlawanan tidak memihak kepada kami,” kata Labbadia.

Benteng pertahanan Hamburg perlu diperkemaskan jika mahu mengekang jentera serangan Bayern yang menampilkan Robert Lewandowski (gambar), Thomas Mueller serta Franck Ribery yang menjaringkan gol ketika pasukannya menang 3-0 ke atas Hertha Berlin, kelmarin.

Setakat ini, Bayern satu-satunya pasukan yang mencatat rekod bersih liga utama Jerman itu.

Mereka pastinya mahu mempamer kecemerlangan sebelum melangkah ke aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid minggu depan - pasukan yang menyingkirkan mereka di separuh akhir tahun lalu.

Dengan tujuh kemenangan sepanjang tujuh perlawanan dalam semua pertandingan setakat ini, Ancelotti sedang meniti kegemilangan bersama anak buahnya di Bayern. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2016 @ 4:58 AM