LEWANDOWSKI (kanan) ledak gol kemenangan Bayern ke atas Hamburg.
LEWANDOWSKI (kanan) ledak gol kemenangan Bayern ke atas Hamburg.
AFP

Berlin: Bayern Munich menyingkap babak kedua Bundesliga dengan kemenangan 2-1 ke atas Hamburg semalam dan jaringan Robert Lewandowski membolehkan skuad kendalian Pep Guardiola itu mengatasi pasukan lain dengan kelebihan 11 mata.

Bayern yang sedang berusaha menjulang gelaran liga Jerman buat kali keempat berturut-turut dilihat terlalu sukar untuk dikekang terutama selepas Guardiola yang berhasrat berpindah ke kelab lain Mei nanti, mahu menamatkan kontrak tiga tahun di Jerman dengan memenangi Liga Juara-Juara, Piala Jerman dan Bundesliga.

Ketika pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund akan hanya melayan Borussia Moenchgladbach hari ini, Bayern mengambil sepenuhnya peluang untuk menjarakkan kelebihan di persada liga ketika saingan kembali bersambung selepas berehat selama empat minggu.

“Adalah penting bagi kami untuk memulakan tahun baru dengan kemenangan,” kata pemain sayap Bayern Arjen Robben.

Penyerang Poland Lewandowski menjaringkan gol tetapi jurulatih Hamburg Bruno Labbadia berang dengan anak buahnya berikutan keputusan berkenaan.

“Ia sudah cukup untuk membuatkan anda berang. Kami memberikan gol mudah kepada lawan. Ia sangat-sangat mengecewakan,” kata jurulatih Hamburg itu lagi.

“Kami tidak memberi lawan peluang pada babak pertama, tetapi gol kedua mereka membuatkan saya sangat marah.”

Bayern mendahului tuan rumah apabila pengadil Felix Zwayer mendakwa Thomas Mueller dijatuhkan penjaga gol Hamburg Rene Adler ketika berebut bola di dalam kotak penalti.

Keputusan itu bagaimanapun dibantah pemain Hamburg sambil Adler dikenakan kad kuning, tetapi Lewandowski pantas memberikan gol kedua pasukannya yang juga jaringan ke-24 peribadinya sepanjang 28 perlawanan musim ini.

Aksi Hamburg tidak seperti yang diharapkan, tetapi mereka berjaya merapatkan kedudukan pada awal babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:07 AM