Rotterdam: Pilihan utama Marin Cilic (gambar) melangkah ke suku akhir pertamanya tahun ini selepas mengalahkan pemain Croatia Borna Coric 6-1, 2-6, 6-4 di kejohanan Tenis Dunia Rotterdam.

Cilic yang hanya menang sekali tahun ini sebelum aksi di stadium Ahoy itu, mempamer aksi cemerlang ketika menentang Coric yang tidak beraksi musim lalu akibat kecederaan.

“Memang sukar untuk menentang lawan seperti Borna. Dia bermain baik sejak kembali daripada kecederaan. Bukan mudah buat saya walaupun selepas menang set pertama,” kata Cilic yang juga bekas juara Terbuka AS.

“Borna membuktikan kepada semua bahawa dia adalah pemain yang mampu menyinar pada masa depan. Mungkin dia tidak dapat bermain baik kerana sudah lama tidak beraksi tetapi pergerakannya agak konsisten.”

Walaupun tewas set pertama selepas ketinggalan 5-0, Coric tetap berjaya mencuri perlawanan dan memaksa Cilic bekerja keras.

Sementara itu, Tomas Berdych yang diletakkan sebagai pilihan keempat, melakar 10 ace ketika menewaskan Richard Gasquet 7-6 (7/4), 6-1 dan layak ke suku akhir untuk bertemu juara bertahan Martin Klizan dari Slovakia.

Pilihan ketiga dari Belgium Dàvid Goffin pula menang ke atas Robin Haase 5-7, 6-4, 6-4.

“Memang seronok dapat bermain di kejohanan seperti ini. Mungkin ia tidak sehebat Masters atau Grand Slams tetapi ia tidak menjanjikan bahawa anda akan mendapat laluan mudah,” kata Goffin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 10:42 AM