WAWRINKA bergelut menumpaskan lawan.
WAWRINKA bergelut menumpaskan lawan.

Rotterdam: Stan Wawrinka menyertai Andy Murray untuk menjadi antara pemain pilihan yang layak ke suku akhir kejohanan tenis dunia ATP Rotterdam.

Wawrinka yang juga juara Terbuka Australia tahun lalu, dilihat bergelut sebelum menang ke atas Guillermo Garcia-Lopez 6-7 (2/7), 6-4, 6-2 yang menjadi kemenangan keduanya ke atas pemain Sepanyol dalam tempoh tiga minggu.

Murray pula berjaya menyelamatkan lima mata penamat sebelum menundukkan pemain Kanada Vasek Pospisil 6-3, 7-5 untuk ke kelompok lapan pemain terakhir.

Pemain utama dari Scotland itu serta juara 2009 akan menentang pilihan kelapan, Gilles Simon selepas pemain Perancis itu memerlukan hanya 67 minit untuk mengalahkan Jeremy Chardy 6-4, 6-3.

Murray memegang rekod pertemuan 12-1 berbanding Simon yang juga pemain ke-19 dunia.

Pilihan kedua, Milos Raonic berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Simone Bolelli 6-3, 7-6 (7/2) dengan mencatat 17 servis ace pada perlawanan itu.

Pilihan ketiga Tomas Berdych pula mengalahkan pemain Itali, Andreas Seppi 6-0, 3-6, 6-3.

“Andreas bermain baik pada set kedua. Dia cuba menang seperti saya mengatasinya di set pertama,” kata Berdych. “Bagaimanapun, saya berjaya menguasai dan mencatat kemenangan pada set ketiga.”

Wawrinka berdepan masalah ketika bertemu Garcia-Lopez, lawan yang dikalahkan pada Terbuka Australia bulan lalu.

Pemain Switzerland yang juga pilihan keempat itu bermain buruk pada tie-break set pertama sebelum bangkit menguasai dua set selepas itu.

“Perlawanan sangat sengit,” kata Wawrinka. “Ia bukan mudah namun saya gembira dengan corak permainan saya. Dua set pertama agak getir, tetapi saya berjaya mengatasinya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:18 AM