BLACK, isteri berusaha dapatkan cahaya mata kedua.
BLACK, isteri berusaha dapatkan cahaya mata kedua.
Syafil Syazwan Jefri


Seperti juga pasangan lain yang sudah berkeluarga, penyanyi Black dan isterinya, Naquia Yasirah Mohd Khairi tidak ketinggalan berusaha untuk menambah bilangan anggota keluarga mereka.

Black, 30, berkata, dia dan isteri memang sentiasa berusaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua.

Pada Januari 2015, pasangan ini dikurniakan cahaya mata pertama iaitu Khaleef Dayan.

“Kami memang sudah bersedia mahukan anak kedua. Boleh dikatakan hampir setiap bulan kami melakukan pemeriksaan kesuburan.

“Memang kami benar-benar inginkan anak lagi. Jadi, boleh dikatakan setiap bulan kami melakukan pemeriksaan kesuburan dan kesihatan.

“Kalau ada rezeki, saya mahukan anak kembar. Tetapi itu semua kuasa Tuhan dan kita hanya mampu merancang,” katanya.

Dalam pada itu, tahun ini Black sekali lagi diberi tanggungjawab sebagai mentor dalam program Mentor Milenia 2017 yang bermula semalam.

Tahun lalu, namanya menjadi bualan apabila dilihat ‘over acting’ bagi menghidup­kan program realiti TV3 itu.

Black berkata, tahun ini mereka yang terbabit akan berjenaka, mencipta drama dan gimik bagi menambah seri program yang masuk musim kedua itu.

“Tahun lalu, nama saya dikecam penonton kerana dikatakan terlalu ‘over acting’ sehingga terkinja-kinja. Tahun ini, disebabkan semua mentor adalah dalam kala­ngan kawan-kawan saya, maka kami semua akan ‘menghuru-harakan’ pentas Mentor Milenia 2017,” katanya.

Menurut Black, itu adalah sebahagian daripada strategi untuk menarik minat penonton dan pada masa sama tidak membuatkan program itu terlalu membosankan.

“Kami cuba menjual program itu kepada penonton. Bukanlah aksi akan terkinja-kinja sehingga membuatkan orang ramai benci tetapi ada hadnya,” katanya.

Selain Black, turut menjadi mentor tahun ini ialah Hazama, Akim dan Tomok.

Ditanya strateginya untuk membimbing ketiga-tiga protegenya iaitu Afif, Faiszal dan Syaheera, Black berkata, dia mahu memberi ruang kepada mereka untuk berkarya.

“Saya juga mahu rileks sikit dan tidak mahu membuatkan mereka tertekan.

“Saya akan gunakan pengalaman tahun lalu dan susun betul-betul perjalanan untuk semua protege. Tentunya saya ingin mereka berjaya,” katanya yang baru muncul dengan sing­le duet terbarunya bersama Tomok berjudul Rempuh yang juga lagu runut bunyi filem J Revolusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2017 @ 5:22 AM