STACY, Ernie mahu latih protege sehabis baik beri persaingan sengit pecah dominasi empat mentor lelaki .
STACY, Ernie mahu latih protege sehabis baik beri persaingan sengit pecah dominasi empat mentor lelaki .
Sudirman Mohd Tahir


BERBEZA dari dua musim terdahulu iaitu Mentor Milenia 2016 dan Mentor Milenia 2017, barisan mentor menampilkan empat penyanyi lelaki terbaik tanah air iaitu Akim Ahmad, Black, Hazama dan Tomok.

Kembali dengan format serta pengisian terbaru dan segar, Mentor Milenia 2019 menjanjikan persaingan yang hebat dalam kalangan protege.

Apatah lagi, dua mentor baru diperkenalkan iaitu Stacy dan Ernie Zakri yang diakui memiliki aura dan kehebatan masing-masing.

Sekali gus pembabitan dua penyanyi wanita itu memecah dominasi mentor sebelum ini.

Pastinya, program kali ini akan lebih sengit dan protege siapa daripada lima mentor, Stacy, Ernie Zakri, Akim Ahmad, Black dan Hazama yang bakal bergelar juara?

Bagi Stacy, 29, atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, pembabitan mereka dianggap satu cabaran apatah lagi terpaksa bersaing dengan suami sendiri selain tiga mentor lain.

“Ini pembabitan pertama saya dalam program ini. Walaupun tinggal serumah, saya tidak nampak kami berdepan masalah untuk mendidik protege masing-masing.

“Lagipun di rumah kami ada studio. Mudah untuk berlatih dengan protege masing-masing. Cuma soal strategi, kami ada cara tersendiri,” katanya.

Menurut Stacy yang baru muncul dengan single Khayal, keputusan untuk menyertai Mentor Milenia 2019 didorong suami tercinta.

“Pada awalnya saya beritahu Akim, agak ralat untuk bekerja dalam sebuah program sama. Tetapi, Akim kata kenapa tak cuba dulu.

ERNIE dan Black
ERNIE dan Black

“Ditambah dengan barisan Mentor yang juga rakan baik kami, saya jadi lebih bersemangat. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk protege nanti,” katanya.

Memiliki kehebatan nyanyian tersendiri dan kelebihan sebagai guru vokal, Ernie, 27, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri dilihat bakal memberi saingan sengit.

Malah, sudah semestinya Ernie mampu mengawal dan memberi input tambahan kepada protege yang dipilih dari segi nyanyian.

“Andai peminat meletakkan jangkaan tinggi hanya kerana saya guru vokal, namun apa yang boleh saya janjikan adalah menurunkan ilmu sehabis baik buat dua bakal protege nanti.

“Selain daripada pengalaman yang diraih dalam industri seni tempatan, saya juga boleh berikan kelas vokal percuma kepada mereka,” katanya.

Ditanya apakah yang membuatkan dirinya menerima tawaran sebagai mentor, Ernie mengakui pembabitannya dalam program sebegitu sudah menjadi impiannya sejak sekian lama.

“Dahulu saya tengok orang lain menjadi mentor, saya memasang impian untuk duduk di posisi yang sama suatu hari nanti.

“Alhamdulillah, tahun ini impian itu menjadi kenyataan. Ini peluang keemasan untuk saya berkongsi ilmu dengan dua bakal protege nanti,” katanya.

Bagi Akim Ahmad yang juga juara Mentor Milienia 2017 bersama protege, Elica, dia tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian sebelum ini malah akan tetap memberikan persaingan.

Meskipun perlu bersaing dengan isteri sendiri, Akim, 28, atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad menyifatkan ia bukan satu masalah.

“Pertandingan tetap pertandingan dan saingan ini mesti ada walaupun Stacy turut terbabit dalam program kali ini. Lagipun protege ini adalah penerus legasi muzik untuk masa akan datang. Kami tak selamanya berada dalam dunia muzik.

“Pada saya, tiada masalah untuk bekerja bersama isteri. Kami akan berbincang, tapi tidak merangkumi semua perkara kerana ada juga saya perlu lakukan sendiri. Sudah namanya pertandingan, saya pun ada strategi sendiri.

AKIM dan Hazama
AKIM dan Hazama

“Namun kami sama-sama berfikir apa yang terbaik untuk protege kami. Sebenarnya, jika diikutkan isteri adalah orang yang paling saya percaya dan sering jadikan sebagai rujukan dalam pelbagai perkara. Dia juga orang yang banyak memberikan pandangan kepada saya,” katanya.

Begitu juga dengan Hazama selaku juara musim pertama menerusi protege Fareez Fauzi, musim kali ini dianggap sengit ditambah dengan kemunculan dua mentor wanita.

Namun, Hazama, 35, atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi akan cuba sehabis baik dalam membentuk dua protege menjadi penyanyi terbaik.

“Macam musim terdahulu, saya tidak pernah meletakkan sebarang harapan tinggi. Sebagai mentor, saya sehabis baik menurunkan ilmu yang ada dan membantu dalam setiap persembahan.

“Selebihnya adalah usaha protege itu. Cuma, tugas saya dan rakan lain adalah bagi memastikan mereka diberi ilmu yang selayaknya sepanjang pertandingan.

“Menang atau kalah adalah adat pertandingan. Ia rezeki masing-masing. Cuma, apa diharapkan, protege bersama saya nanti perlu memberikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Black Hanifah mengakui pemilihannya sekali lagi dalam program ini adalah rezeki, sekali gus ingin mencungkil lebih ramai bakat baru dalam bidang nyanyian.

Malah, Black, 32, atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanifah berkata, dia tidak akan berputus asa dalam memberikan saingan menerusi dua protege meskipun dua musim terdahulu tewas.

“Sebagai mentor, saya akan cuba memberikan yang terbaik kepada dua protege. Apa saya pentingkan adalah, kualiti nyanyian dan persembahan mereka. Saya akan gilap lagi bakat mereka.

“Dalam kamus hidup saya, tiada istilah putus asa. Perjuangan perlu diteruskan. Saya berharap dua protege ini akan mengikut semangat saya.

“Jangan risaukan apa persepsi orang, tapi perlu fikir dan utamakan apa yang ingin disampaikan kepada mereka. Dengan cara itu mereka pasti akan buka mata,” katanya.

Mentor Milenia bakal menemui penonton di TV3 bermula 6 Oktober ini pada setiap Ahad jam 9 malam selama 10 episod.

Juara Mentor Milenia 2019 akan memenangi RM100,000 berserta trofi. Program itu dihoskan Shuk Sahar dan Elly Mazlein.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:30 AM