Black bersama Dayyan. FOTO Ihsan Instagram Black.Hanifah
Black bersama Dayyan. FOTO Ihsan Instagram Black.Hanifah
Rudy Imran Shamsudin


PENYANYI Hanifah Md Hanafiah atau Black yang bakal menimang cahaya mata kedua memberikan bayangan kemungkinan bakal menampilkan anak sulungnya, Khaleef Dayyan di pentas konsert Tomok vs Black.

Konsert Tomok vs Black yang julung kali diadakan itu dijadualkan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 November ini.

Perkara itu dibangkitkan peminat Black apabila dia menampilkan Dayyan dalam single terbarunya, Pot Pek yang sudah dilancarkan pada 8 Oktober lalu.

Lebih membanggakan, selepas seminggu dimuat naik di laman sosial Youtube, klip video Pot Pek yang turut menampilkan keluarga juara program realiti Mentor itu muncul #trending.

Black berkata, dia memang mempunyai perancangan untuk menampilkan Dayyan pada konsert berkenaan, bagaimanapun ia bergantung kepada kemampuan anaknya.

“Hendak diikutkan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan konsert DFP. Bagaimanapun, ia berbeza untuk mereka yang mengadakan persembahan.

“Saya sudah membuat permohonan untuk membawa Dayyan tampil di atas pentas konsert itu nanti, dan mengadakan persembahan bersama sewaktu menyanyikan lagu Pot Pek,” katanya.

Begitupun kata Black, segalanya bergantung kepada Dayaan sendiri sama ada dia berani untuk berada di atas pentas dan berdepan dengan penonton yang ramai.

“Susah sebabnya saya dan Tomok hanya ada masa sehari untuk masuk ke dalam dewan dan mengadakan raptai penuh sebelum hari persembahan. Jadi masa untuk Dayyan menyesuaikan diri agak singkat,” katanya.

Katanya, dia faham ramai peminat yang membeli tiket mahu melihat Dayyan dengan lebih dekat, tambah pula dia turut popular menerusi sebutan pelat dan #nivalel.

“Saya secara peribadi menganggap segmen bersama Dayyan itu lebih kepada untuk berseronok dan mahu penonton terhibur. Apatah lagi Dayyan sendiri turut menunjukkan minatnya dalam bidang muzik.

“Sekurang-kurangnya konsert ini dapat memberikannya pendedahan awal dan tahu bagaimana ayahnya bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 7:58 PM