BAKAL timang cahaya mata kedua apabila isteri disahkan hamil 6 minggu.
BAKAL timang cahaya mata kedua apabila isteri disahkan hamil 6 minggu.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Penyanyi Black Hanifah, 27, bakal menimang cahaya mata kedua apabila isterinya, Naquia Yasirah Mohammad Khairi, 29, kini hamil enam minggu.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah berkongsi berita gembira itu ketika ditemui di sidang media Mentor Milenia yang berlangsung di Sri Pentas.

“Saya dan isteri pun tidak menjangkakan perkara ini lebih-lebih lagi, anak pertama kami baru menjengah usia 11 bulan.

“Apabila isteri disahkan hamil, kami bersyukur. Memang saya teruja dan pada masa sama, lebih bersedia kerana sebelum ini sudah ada pengalaman,” katanya.

Kata Black lagi, untuk kehamilan kami ini, isterinya tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.

“Alhamdulillah, dia juga tidak mengalami sebarang alahan untuk kehamilan kedua ini. Kalau mengidam pula, ada sekali dua dia meminta saya carikan makanan yang jarang dimakan seperti sate ikan dan telur penyu,” katanya.

Black turut meluahkan perasaan terujanya untuk mengetahui jantina bayi kedua mereka itu.

Pasangan ini disatukan sebagai suami isteri pada 13 September 2015 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Khaleef Dayyan, 11 bulan.

Terbaru, Black turut menjayakan barisan mentor untuk program Mentor Milenia yang akan mula ditayangkan di TV3 mulai 3 Januari 2016.

Bercerita mengenai tanggung jawab barunya sebagai mentor, Black meletakkan beberapa kriteria untuk mereka yang bakal bergelar protegenya dalam program realiti itu.

“Bagi saya, apa yang paling penting untuk seseorang peserta uji bakat adalah persediaan lagu. Pilih lagu yang sesuai dan kena dengan tona suara.

“Di samping itu, kalau boleh saya mahu protege saya itu, lain daripada yang lain dan mampu menampilkan persembahan tidak pernah kita lihat di dalam industri pada hari ini,” katanya lagi.

Black juga menekankan dia lebih cenderung untuk memilih protege lelaki, tetapi tidak menolak sekiranya ada peserta wanita yang lebih berbakat.

“Bukannya apa, kalau peserta lelaki, lebih mudah untuk saya berikan tunjuk ajar kerana selalunya, latihan nyanyian akan berlanjutan sehingga tengah malam, bahkan ke pagi.

“Jadi, tidak manis jika protege saya wanita dan membuat latihan bersama saya sehingga waktu itu. Tapi kalau ada yang benar-benar berbakat dan berjaya mencuri tumpuan saya, silakan datang mencuba nasib,” katanya.

Selain Mentor Milenia, Black juga sudah menyiap­kan album kompilasi lagu hitnya dan menantikan masa yang sesuai untuk dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:00 AM