MENTOR (dari kanan) Akim, Hazama, Black dan Tomok. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
MENTOR (dari kanan) Akim, Hazama, Black dan Tomok. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penganjuran program realiti Mentor Milenia 2017 mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih jumlah penonton tertinggi sebanyak 3.15 juta ketika ia ditayangkan secara langsung pada konsert Battle Suku Akhir di TV3, Ahad lalu.

Kaji selidik yang dikeluarkan Nielsen Audience Measurement itu membuktikan gabungan empat mentor popular iaitu Tomok, Black, Hazama dan Akim berjaya mencetuskan fenomena dan menarik perhatian penonton.

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Zurina Othman berkata, pihaknya bersyukur dengan pencapaian itu dan berterima kasih kepada penonton setia TV3.

“Bukan mudah bagi program realiti untuk mencecah rating setinggi ini. Kami berbangga dengan pencapaian Mentor Milenia 2017 yang berjaya mengangkat kebolehan dan bakat protege ke mata penonton.

“Kami juga kagum dengan kemampuan empat mentor yang berbakat dan kreatif ini terutamanya dalam pemilihan protége yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Kesungguhan yang ditunjukkan di antara mentor dan protege berjaya melahirkan insan seni yang dapat melakar nama dalam industri muzik," katanya.

Menurut Zurina, pihaknya berharap jumlah penonton akan terus meningkat hingga ke final program itu pada 7 Mei ini.

Zurina turut berharap jumlah penonton akan terus meningkat pada peringkat separuh akhir yang bakal berlangsung Ahad ini.

"Bagi menghangatkan lagi pentas Mentor Milenia 2017 Ahad ini, kami membawakan penyanyi Sufian Suhaimi sebagai artis jemputan selain Yasin Sulaiman sebagai juri jemputan," katanya.

Program yang dihoskan Issey Fazlisham dan Marsha Milan Londoh itu akan menyaksikan pertarungan hebat di antara Syeera, Elica, Along, Usop dan Balqis untuk merebut tempat ke peringkat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 7:42 PM