LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Penganjur Choii Underground Music Tour Kedah 2.0' memohon maaf kepada kerajaan negeri berikutan penganjuran konsert malam kelmarin.

Menerusi akaun TikTok Faris Azrii, pemuda itu mengakui kesilapannya yang terlepas pandang mengenai konsert yang diadakan pada malam Nisfu Syaaban.

"Apa yang berlaku ini memang tidak membabitkan mana-mana badan kerajaan dan memang salah pihak kami.

"Hari ini saya buat satu kesilapan dan saya mohon maaf kepada kerajaan negeri Kedah yang benarkan kita jalankan program di sini tetapi kita melanggar apa yang tidak sepatutnya kita buat di bumi Kedah, saya betul-betul mohon maaf kepada kerajaan Kedah," katanya.

Menurutnya, perbuatan anak muda melompat dan terkinja-kinja ketika konsert berlaku pada hari Jumaat dan bukannya pada malam Nisfu Syaaban.

"Mengenai isu terkinja-kinja dan melompat-lompat itu juga saya mohon maaf kerana saya membawa hip hop ke bumi Kedah tetapi kejadian ini pada Jumaat bukan Sabtu.

"Tapi kita juga adakan konsert dan itu kesalahan di pihak kami juga," katanya.

Beliau berkata sebagai anak muda yang terbabit dalam dunia usahawan, dia juga tidak terlepas dengan kesilapan yang dilakukan secara tidak sengaja.

Katanya, ia adalah program kedua selepas Pulau Pinang.

Malah beliau turut menjelaskan, sebelum konsert itu diadakan pihaknya menganjurkan program selawat selama hampir sejam.

Katanya, program itu akan diadakan di Terengganu selepas ini dan tiada sebarang konsert diadakan, melainkan malam berselawat, ceramah dan tazkirah.

Terdahulu, media melaporkan penganjuran Choii Underground Music Tour Kedah 2.0 yang mencetuskan kontroversi kerana membabitkan kelakuan terkinja-kinja anak muda di Taman Jubli Emas, sini malam kelmarin tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria dilapor berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerusi mana-mana agensi di bawah pentadbirannya memberi permit atau kelulusan untuk konsert itu diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 7:54 AM