KARIM (belakang dua dari kiri) bersama wakil penaja pada sidang media Larian KL sempena Hari Wilayah, semalam.
KARIM (belakang dua dari kiri) bersama wakil penaja pada sidang media Larian KL sempena Hari Wilayah, semalam.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi amaran tegas kepada atlet di bawah naungannya untuk tidak menyertai mana-mana acara larian maraton ‘haram’ iaitu pertandingan yang tidak berdaftar di bawah badan induk itu.

Andai mereka dikesan membabitkan diri dalam acara itu, Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim menegaskan tindakan tegas akan diambil dengan mereka akan disenaraikan hitam daripada menyertai kejohanan di dalam atau di luar negara.

Katanya, tindakan itu diambil selepas banyak masalah timbul apabila sesuatu penganjuran itu tidak didaftarkan dan dianjurkan tanpa pengetahuan mereka.

“Perkara ini bukan baru dan sudah lama saya jelaskan mengenai masalah ini, namun masih ada penganjur yang menganjurkan larian maraton tanpa mendapat kelulusan kami.

“Banyak masalah timbul dan saya tidak mahu KOM dipersalahkan kerana kelemahan penganjuran,” katanya.

Karim ditemui pada sidang media Larian KL bersempena Hari Wilayah semalam, meluahkan rasa kecewanya apabila masih banyak penganjur mengabaikan arahan itu selepas mengesan beberapa perlumbaan yang akan berlangsung tidak mendapat kelulusan mereka.

Menurut perlembagaan badan induk olahraga itu, setiap acara membabitkan trek, padang, maraton, jalan kaki, merentas desa, larian gunung atau sebarang pertandingan membabitkan olahraga perlu mendapat pengiktirafan mereka.

Tegasnya KOM mempunyai kuasa mutlak dalam pengelolaan maraton dengan semua ahli gabungan dan penganjur acara perlu mendapat kebenaran bertulis sebelum acara dijalankan.

Sebanyak RM3,000 dikenakan untuk semua ahli gabungan bagi setiap penganjuran manakala RM10,000 untuk mana-mana badan kerajaan yang ingin menganjurkan maraton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:18 AM