Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mula berlembut apabila bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung isu larian Maraton Antarabangsa Malaysia pada Mei ini ketika badan sukan tertinggi negara itu tetap mempertahankan acara berkenaan sah untuk dianjurkan.

Naib Presidennya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagaimanapun berkata, segala keputusan muktamad untuk mengadakan perbincangan itu hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM esok.

Nada terbaru itu sekali gus menyaksikan MOM bersedia mengikut nasihat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang meminta dua entiti itu mengadakan perbincangan sekali gus mencari jalan penyelesaian berhubung penganjuran maraton itu.

“Kami menghormati nasihat Menteri Belia dan Sukan supaya mengadakan perbincangan. Tapi segala ketetapan bergantung kepada mesyuarat Selasa nanti (esok),” katanya kepada Arena Metro semalam.

Danyal berkata, MOM tidak pernah sama sekali mempertikaikan hak KOM dalam isu itu dengan buktinya pihaknya sendiri sudah memaklumkan penganjuran larian itu kepada bekas Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan Presiden KOM ketika ini Datuk Karim Ibrahim yang menyatakan tidak pernah berlaku sebarang perbincangan dengan KOM seperti dilaporkan sebelum ini.

“Malah kami sudah mengikut segala prosedur sebelum memutuskan untuk menganjurkan larian ini. Perbincangan sudah dilakukan secara serius sejak Oktober lalu.

“KOM sendiri yang menentukan tarikh untuk menganjurkan larian itu kerana tidak mahu ia bertindih dengan acara lain. Mereka juga yang membantu kami dalam proses mendapatkan pengiktirafan IAAF (Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa) sebelum menasihatkan untuk bekerjasama dengan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang serta kerajaan negeri.

“Saya ada segala bukti perbincangan itu dan semua ini jelas membuktikan KOM mengiktiraf larian ini. Tapi bila beliau (Karim) baru saja memimpin KOM, segala-galanya hendak diubah,” katanya.

Isu penganjuran larian itu mula tercetus selepas Karim mendakwa ia tidak sah untuk dianjurkan kerana tidak mendapat pengiktirafan KOM.

Begitupun MOM menerusi Danyal menegaskan pihaknya tetap akan menganjurkan larian itu dan enggan mengadakan perbincangan dengan KOM.

Danyal mendakwa, MOM perlu mengeluarkan perbelanjaan AS$3 juta (RM10.7 juta) bagi membolehkan larian itu mendapat label bertaraf gangsa daripada IAAF dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan dan dijadikan acara tahunan.

Akibat kos yang begitu tinggi, KOM ketika itu mencadangkan kepada MOM supaya terus berurusan dengan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang serta kerajaan negeri yang akan mengiktiraf larian itu.

Karim yang berang dengan kenyataan Danyal memberi amaran pihaknya mungkin akan menyaman MOM sebelum Khairy meminta kedua-dua pihak mengadakan perbincangan sekali gus menyelesaikan isu itu dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 7:00 AM