Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menukar nama larian Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) kepada nama lain meredakan rasa tidak puas hati Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim.

Namun beliau tetap menuntut jawapan badan sukan tertinggi negara itu, terutama berhubung kenyataan dikeluarkan Naib Presiden MOM Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Enggan memanjangkan lagi isu penganjuran larian itu, Karim mengucapkan terima kasih kepada Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang membuat keputusan bijak bagi menamatkan kemelut berkenaan.

“Saya hormati pendirian Tunku Imran kerana memberikan jalan penyelesaian yang bagus. Tapi saya tetap mahukan jawapan bertulis MOM selepas mengemukakan surat meminta penjelasan kepada mereka semalam (kelmarin).

“Mereka membuat banyak kenyataan tidak benar, terutama dakwaan menyatakan MOM perlu membayar AS$3 juta (RM10.7 juta) bagi membolehkan larian itu diiktiraf IAAF (Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa).

“Malah Datuk Zainal Abidin Ahmad (bekas presiden) menafikan perbincangan mengenai larian itu sudah berlaku sejak dua tahun lalu.

“Selebihnya membabitkan larian itu, saya serahkan kepada POAPP (Persatuan Olahraga Pulau Pinang) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Tunku Imran pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM berkata, pihaknya mengambil keputusan menukar nama MIM dengan tidak menggunakan perkataan ‘maraton’ tapi ‘larian’.

Jelas Tunku Imran, keputusan itu bagi menghentikan perbalahan dengan KOM terutama Karim yang bertegas menyatakan larian itu tidak sah kerana tidak mendapat pengiktirafan badan induk olahraga negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 6:52 AM