KARIM (kiri) mengadakan sidang media mengenai syarikat China tidak mahu berbincang dengan KOM membabitkan penganjuran maraton.
KARIM (kiri) mengadakan sidang media mengenai syarikat China tidak mahu berbincang dengan KOM membabitkan penganjuran maraton.

Kuala Lumpur: ‘Acara maraton hak kami,’ kata Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim.

Karim dalam sidang media di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam berang dengan syarikat China Wisdom Sports Group menggunakan Persatuan Olahraga China (CAA) dan Kementerian Pelancongan Malaysia untuk menganjurkan maraton.

Mereka dikatakan mengetepikan hak KOM sebagai badan bertanggungjawab dalam pengurusan maraton di negara ini apabila enggan menjalinkan kerjasama.

Malah KOM akan mendapat nasihat undang-undang seandainya syarikat itu masih meneruskan hasrat mereka menganjurkan Maraton Belt and Road China-Malaysia yang dijangka berlangsung di sini, 1 Oktober ini.

“CAA tiada hak untuk menganjurkan acara itu di negara ini. Kami bukan mahu bergaduh dengan mana-mana agensi atau dengan menteri.

“Cuma kita perlu mencari jalan penyelesaian kerana KOM terikat dengan syarat penganjuran. Adalah tidak adil bagi pihak yang mengikut syarat penganjuran seperti KL Maraton.

“Kami tidak mahu acara maraton dianjurkan pihak tertentu dengan menggunakan pihak atasan untuk melangkaui kami sebagai badan induk sukan yang mahu mencari sumber kewangan untuk pembangunan,” katanya.

Mengikut perlembangaan KOM setiap acara larian di Malaysia perlu membayar yuran penganjuran dan akan dianggap pertandingan haram seandainya tidak berbuat demikian.

Karim menjelaskan dua surat sudah dihantar kepada Wisdom Sports Group pada Mac dan Mei lalu, namun tiada balasan.

Terdahulu Wisdom Group didakwa enggan membayar yuran penganjuran yang mana KOM memberi dua pilihan kepada pengurusan maraton sama ada membuat bayaran secara terus atau dikira mengikut penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 9:03 AM