KARIM pada sidang media berhubung kemalangan membabitkan tiga peserta acara Klang City International Marathon ahad lepas di pejabat MOM. -Foto OWEE AH CHUN
KARIM pada sidang media berhubung kemalangan membabitkan tiga peserta acara Klang City International Marathon ahad lepas di pejabat MOM. -Foto OWEE AH CHUN
Mohd Khairie Khalid


KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) tidak akan mengambil sikap mudah terhadap sebarang bentuk penganjuran acara larian atau maraton membabitkan peringkat tempatan mahupun antarabangsa, selepas ini.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata pihaknya akan memastikan setiap penganjuran mempunyai permit agar mampu dipantau berikutan ada penganjur dilihat bersikap tamak dan mementingkan keuntungan semata-mata.

“Kita akan merancang garis panduan yang diperlukan untuk meluluskan permit kepada penganjur dengan perbincangan bersama Pesuruhjaya Sukan, iaitu pihak yang boleh mengeluarkan permit.

“Kita nak keluarkan syarat kerana ingin memastikan penganjur bukannya muflis kerana kita tidak mahu acara seperti ini dianjurkan sebarangan pihak.

“KOM juga akan menyenaraikan penganjur yang layak mendapat permit kerana jika ia tidak dilakukan bermakna semua orang boleh menjadi pengurus acara dan menyalah guna kuasa,” katanya pada sidang media di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dekat sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang peserta larian Klang City International Marathon parah manakala dua cedera selepas dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Kapar Batu 2.

Siasatan selepas itu mendapati penganjuran acara itu tidak mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan selaras dengan Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.

Mengulas lanjut, Karim menegaskan perkara yang paling penting adalah lesen yang dikeluarkan untuk menjadi penganjur hanya boleh dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Sukan.

Katanya, setiap acara maraton yang akan diadakan di peringkat negeri, penganjur perlu menggunakan saluran persatuan olahraga negeri sementara bagi peringkat antarabangsa mereka harus merujuk kepada KOM.

Beliau turut memberi peringatan kepada semua atlet kebangsaan supaya tidak menyertai acara larian yang gagal mendapat permit bagi mengelak sebarang tindakan dari pihaknya.

Dalam pada itu Persatuan Olahraga Amatur Selangor juga akan membuat laporan polis berkaitan penganjuran Klang City International Marathon kerana tidak memohon lesen daripada persatuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 8:13 PM