PERKEMBANGAN kecelaruan keresahan ditentukan faktor neurobiologi, persekitaran, sosial dan genetik.
PERKEMBANGAN kecelaruan keresahan ditentukan faktor neurobiologi, persekitaran, sosial dan genetik.
Dr Phang Cheng Kar

Pakar Psikiatri

Perubahan suasana dan keadaan mencabar biasanya mudah menimbulkan perasaan resah serta bimbang. Ini tidak terkecuali bagi kelompok kanak-kanak terutama ketika mereka berdepan peperiksaan penting atau bertukar ke sekolah baru.

Secara amnya, mempunyai sedikit perasan resah adalah normal. Malah keresahan sebenarnya boleh menjadi sebahagian sumber motivasi. Ia membantu kita menjadi lebih berwaspada, fokus, dan bersedia untuk melakukan yang terbaik.

Namun begitu, keresahan juga boleh menjadi keterlaluan. Dalam keadaan yang teruk, ia boleh mengganggu kehidupan kanak-kanak tidak kira dari sudut pencapaian di sekolah mahupun hubungan mereka dengan rakan sebaya.

Jika tidak dirawat, ia boleh menjadi kecelaruan keresahan, iaitu kecelaruan kesihatan mental paling lazim dikesan di peringkat kanak-kanak dan remaja.

Sehingga kini saintis belum menemui punca tepat yang membawa kepada kecelaruan keresahan.

Bagaimanapun, perkembangan kecelaruan keresahan kanak-kanak ditentukan beberapa aspek seperti faktor neurobiologi, persekitaran, sosial dan genetik.

Terdapat beberapa jenis kecelaruan keresahan antaranya kecelaruan keresahan menyeluruh (GAD), kecelaruan keresahan perpisahan, mutisme berpilih (SM), kecelaruan keresahan sosial (SAD) dan kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).

Individu yang mengalami GAD biasanya mempunyai perasaan takut yang keterlaluan dan tidak realistik dalam aktiviti harian. Mereka terlalu takut melakukan kesalahan, takut sekiranya gagal dalam peperiksaan, takut dijangkiti penyakit dan sentiasa berasa tidak selamat.

Dalam erti kata mudahnya, kelompok ini tidak pernah lari daripada perasaan bimbang, apa akan terjadi sekiranya dalam keadaan begitu dan begini. Mereka juga terlalu fokus memikirkan pelbagai kemungkinan buruk. Kesannya, anak yang mengalami GAD cenderung menghindari aktiviti, kurang mengambil risiko, tidak gemar mencuba perkara baru dan cepat berputus asa.

Di sinilah perlunya peranan ibu bapa. Mereka perlu memberi sokongan dan semangat bagi meyakinkan anak untuk terus menapak maju ke hadapan.

Bagi masalah kecelaruan keresahan perpisahan, Dr Phang berkata, ia menghuraikan keadaan kanak-kanak yang takut untuk berpisah dengan ibu bapa atau penjaga.

Keadaan ini lazim terjadi kepada bayi dan dianggap normal dalam kalangan kanak-kanak kecil. Mereka yang mengalami keresahan perpisahan selalunya tidak boleh berjauhan dan takut untuk tidur di tempat asing tanpa kehadiran ibu bapa.

Dalam SM pula, ibu bapa sering mengadu anak mereka mudah berbicara di rumah, dan/atau dalam kalangan ahli keluarga atau rakan terpilih, tetapi enggan bercakap di sekolah atau persekitaran sosial lain. Kanak-kanak yang mengalami SM juga mungkin menghadapi gabungan beberapa jenis kecelaruan keresahan contohnya, kecelaruan keresahan sosial.

Manakala SAD pula merujuk kepada kanak-kanak yang sering menggambarkan perasaan takut untuk bercakap atau melakukan perkara salah, ditertawakan, atau dimalukan. Ini yang mengikat diri mereka daripada bergaul dengan ramai kawan, seterusnya mengelak situasi sosial termasuk menyertai sebarang persembahan pentas.

Kebimbangan mereka ini berfokus lebih kepada apa yang orang lain fikirkan mengenai diri mereka, berbanding persepsi terhadap persembahan dibuat.

Akhir sekali, kanak-kanak OCD. Mereka terlalu memikirkan sama ada sesuatu itu boleh membahayakan, salah, atau kotor atau memikirkan perkara buruk boleh berlaku. Mereka mempunyai perasaan kuat untuk melakukan sesuatu berulang kali menghilangkan perasaan takut atau bahaya.

Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:03 AM