Profesor Madya Dr Alvin Ng Lai Oon (Pakar Psikologi Klinikal)

Kita memang perlu menumpukan perhatian terhadap amalan gaya hidup sihat yang baik. Kesihatan yang baik bukan setakat pemakanan sihat dan senaman.

Walaupun kesihatan fizikal itu penting, kesihatan mental juga tidak boleh diabaikan demi kesejahteraan hidup terutama pada zaman serba pantas yang sering membuatkan anda rasa seolah-olah tiada masa untuk diri sendiri menyebabkan anda berfikiran atau berperasaan negatif. Mendengar muzik menenangkan atau berjoging boleh mengurangkan perasaan negatif. Namun, ia hanya dilakukan selepas anda berasa negatif.

Bagaimana cara membendung fikiran dan perasaan negatif ini dari awal? Sebenarnya anda boleh memperbaiki kesejahteraan mental dan mengurangkan fikiran serta perasaan negatif.

Malah, ada satu gerakan yang semakin mendapat tempat yang menyokong tindakan kesedaran diri dalam mencapai kesejahteraan mental.

Kesedaran diri bukan satu perkara baru. Anda tidak perlu warak dalam agama untuk menikmati manfaatnya. Pakar kesihatan Barat memajukan kaedah

terapi seperti Terapi Kognitif Berasaskan Kesedaran atau Mindfulness-Based Cognitive Therapy (MBCT) dan Pengurangan Stres Berasaskan Kesedaran atau Mindfulness-Based Stress Reduction (MBSR).

Apakah Kesedaran Diri?

Di sebalik namanya yang berbunyi eksotik, konsep asas kesedaran diri ternyata mudah. Ia adalah kesedaran anda mengenai keadaan yang dihadapi sekarang dan mengalaminya tanpa sebarang tanggapan.

Apabila anda mengasah kemahiran ini, anda akan dapati ia suatu alat untuk membantu menguruskan tekanan dan kebimbangan. Satu cara mudah untuk membantu anak anda memahami konsep kesedaran diri adalah kata hikmah ini: - “Hargai detik sekarang kerana ia tidak akan kembali.”

Masih tidak percaya kesedaran diri berguna? Cuba ingat semula hidangan terakhir yang anda makan. Boleh anda ingat apa-apa mengenainya? Adakah hidangan itu untuk menghilangkan lapar semata-mata? Adakah anda juga termasuk dalam kumpulan yang terlalu sibuk untuk menikmati makanan?

Apabila anda lebih sedar mengenai hidangan, anda akan memberi perhatian kepada setiap komponen makanan seperti bau, rupa, rasa dan sensasi. Makan perlu dilakukan dengan niat untuk menjaga diri. Anda perlu memberi perhatian yang sewajarnya, agar dapat melihat dan menikmati hidangan serta bagaimana ia boleh memberi manfaat atau menjejaskan tubuh anda.

Kesedaran Diri dan Meditasi: Apa bezanya?

Dua perkara ini ada banyak persamaan. Kesedaran diri adalah kemahiran asas yang diperlukan dalam meditasi. Namun, perbezaan paling mudah dan ketara ialah dari segi pendekatannya. Kesedaran diri boleh dilakukan bila-bila masa atau di mana saja, manakala meditasi lazimnya memerlukan tempoh yang khusus.

Manfaat Kesedaran Diri

Kesedaran diri adalah kaedah mental yang membantu anda untuk lebih menyedari corak fikiran, tingkah laku dan perasaan. Matlamat utamanya ialah untuk membolehkan anda mengendalikan fikiran dan perasaan dengan lebih baik dan tidak membiarkannya menguasai anda. Ia memberi manfaat kepada anda dengan memperbaiki:

• Kesejahteraan keseluruhan - membantu anda memberi perhatian dengan lebih baik terhadap perkara semasa dan mengalih perhatian anda daripada terlalu banyak berfikir dan bimbang.

• Kesihatan fizikal- membantu melegakan stres, merawat penyakit jantung, mengurangkan tekanan darah dan kesakitan kronik, memperbaiki tidur dan mengurangkan masalah sistem penghadaman.

• Kesihatan mental - kesedaran diri terbukti memberi kesan positif dalam rawatan kemurungan, salah guna dadah, masalah pemakanan, masalah keresahan dan kecelaruan obsesif kompulsif.

Oleh itu, sebelum anda mendedahkan anak kepada amalan kesedaran diri, lebih baik jika anda sendiri berlatih dahulu. Ia akan memudahkan anda membimbing anak kerana si kecil akan mengikut jejak langkah anda apabila anda sama-sama berlatih mengenai kesedaran diri.

Ada aplikasi yang boleh dimuat turun untuk membantu anda seperti ‘Stop, Breathe, and Think’, ‘Calm.com’, ‘Insight Timer’ dan ‘MindShift’. Cabaran pasti ada, apa yang penting bersabar dan tabah dalam usaha mendidik anak mengenai kesedaran diri. Sasaran utama latihan kesedaran diri adalah untuk belajar berpuas hati dengan keadaan semasa. Maka, pendekatan yang bertimbang rasa dan lemah lembut sangat penting.

Kesedaran Diri Boleh Membantu Anak Anda

Minda seorang kanak-kanak mudah terseleweng, asyik dengan fikiran lalu atau kebimbangan mengenai masa akan datang. Lazimnya, anak anda hanya bertindak secara automatik apabila melalui hari-harinya atau hanya ‘bertindak mengikut emosi’.

Dengan mendidik anak supaya lebih sedar diri, dia akan mempelajari cara untuk mengubah perhatiannya daripada fikiran atau emosinya kepada persepsi pancaindera terhadap apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.

Dengan melakukannya secara sedar, ia membolehkan anak anda untuk lebih prihatin terhadap tindakan emosinya, lalu memudahkan dia bertenang dan tidak mudah terjadinya ledakan emosi. Selain itu, kebarangkalian untuk bersyukur dan berpuas hati lebih tinggi apabila seseorang itu lebih sedar keadaan semasa.

Berapa kerapkah kita sedar bahawa kita sudah cukup baik dan perkara lain pun sudah cukup baik? Seperti yang dikatakan, kesedaran diri melahirkan rasa puas hati yang semakin jarang ditemui dewasa ini.

Manfaat jangka panjang kesedaran diri yang lain termasuk:

• Memperbaiki daya ingatannya (dengan memperbaiki kebolehannya untuk menumpukan perhatian)

• Meningkatkan kebolehannya untuk fokus dan memperbaiki kemahiran yang dipelajarinya

• Membolehkan dia memahami dengan lebih baik mengenai proses pemikirannya dan bagaimana mindanya bertindak yang akhirnya menjurus kepada kefahaman diri yang lebih baik.

• Belajar untuk bersyukur - ‘sekarang cukup baik, saya cukup baik’.

Perlu diingatkan hasil di atas hanya dapat dicapai melalui latihan kesedaran diri secara tetap kerana orang dewasa juga sukar mencapainya.

Tahap yang berbeza bagi umur berbeza

Pembelajaran daripada pengalaman penting bagi anak anda. Latihan kesedaran diri adalah kaedah pembelajaran yang ringan, berasaskan pengalaman dan tidak boleh dipelajari melalui pembacaan. Justeru, sebagai ibu bapa atau guru perlu belajar dulu dan merasainya supaya dapat memahami bagaimana ia boleh membantu anak.

Apabila anda mula memperkenalkan kesedaran diri kepada anak, jadikan ia mudah dan tidak formal. Apa yang diperlukan hanyalah menumpukan perhatian pada masa sekarang dan menyesuaikan diri dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling dan pada anda.

Bagi kanak-kanak yang terlalu muda untuk menyatakan perasaan atau pengalaman mereka, tunjukkanlah bagaimana seseorang boleh mendapat manfaat daripada kesedaran diri dengan menggunakan cerita. Anda boleh menggunakan watak kegemaran anak anda sebagai model untuk dijadikan contoh agar dia mendapat inspirasi daripada cerita. Kemudian lakukan latihan sebenar dengannya.

Sebagai contoh, anda boleh menggunakan watak Incredible Hulk sebagai satu watak yang tidak dapat mengawal kesedaran dirinya dan senang naik berang apabila dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan kemarahan. Apabila dia bertenang dan menyesuaikan diri dengan perkara yang mengganggunya, dia kemudiannya dapat mengatasi masalah dengan cara yang lebih adaptif dan membina.

• Enam tahun ke bawah - Sebagai permulaan, jika anak anda berumur enam tahun ke bawah, penggunaan deria atau sensasi ternyata ideal sebagai langkah pertama untuk mempelajari kesedaran diri. Satu latihan mudah adalah meminta anak menerangkan apa yang tangannya rasa apabila dia menyentuh sesuatu atau rasa dan sensasi makanan yang dimakan.

Jadikan ia sebagai satu permainan dengan memberi anak anda kuiz secara rambang. Anda boleh menyuruh dia berhenti daripada apa yang sedang dilakukan dan terangkan apa yang dia lihat, dengar atau rasa, seperti warna yang digunakan, rasa pensil warna di tangannya, cara angin daripada kipas angin mengipas rambutnya.

• Tujuh hingga 12 tahun - Sekiranya anak anda berumur antara tujuh hingga dua belas tahun, anda boleh mula dengan kaedah bagi kanak-kanak kecil. Tambahkan tumpuan anak anda kepada rangsangan yang lebih khusus. Bukan saja pada tubuh fizikalnya tetapi juga pada perasaan dan emosinya, seperti marah, kecewa dan sebagainya.

* Remaja - Kebanyakan remaja boleh memahami dengan lebih baik dan berkongsi persepsi mereka. Anda boleh mulakan dengan berkongsi manfaat kesedaran diri dengan anak. Kanak-kanak yang lebih menyedari persepsi atau perasaannya boleh juga mengenal pasti punca dia bertindak dengan cara tertentu terhadap sesuatu keadaan atau rangsangan.

Sangat penting untuk anda mendapatkan maklum balas anak mengenai perasaan mereka. Jika anak rasa gembira, ingatkan mereka untuk menyedari perasaan dan punca kegembiraan itu. Ini membantu mereka mengaitkan latihan kesedaran diri dengan perasaan gembira. Jika mereka tidak dapat membuat kaitan itu, latihan berkenaan tidak bermakna bagi mereka.

** Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut atau membaca membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org. Nantikan Seminar Pengasuhan Positif di KidZania pada 28 & 29 Mei 2016. Untuk keterangan, singgah di laman web kami, Facebook atau e-mel ke [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 11:12 AM