Dr Mary Joseph Marret - Perunding Pediatrik

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan keganasan sebagai salah satu kebimbangan utama manusia sejagat. Daripada kajian seperti Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keganasan terhadap kanak-kanak, kita tahu kanak-kanak menghadapi keganasan dalam pelbagai situasi, termasuk di rumah dan di sekolah.

Ini mendedahkan mereka kepada bahaya fizikal, kecederaan dan kemudaratan psikologi. Semakin banyak bukti seperti kajian Kesan Buruk Pengalaman Zaman Kanak-Kanak atau Adverse Childhood Experiences - ACE, menunjukkan pendedahan kepada trauma ketika zaman kanak-kanak meningkatkan risiko merokok, obesiti, kemurungan, ketagihan dadah, penyakit jantung atau paru-paru dan kanser apabila dewasa.

Justeru, penting untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak jika kesejahteraan serta kesihatan keseluruhan masyarakat mahu diperbaiki.

Melindungi kanak-kanak daripada keganasan memerlukan pembabitan setiap individu dalam masyarakat. Kanak-kanak harus mendapat penjagaan terbaik dan perlindungan daripada keluarga mereka sendiri. Ibu bapa mempunyai peranan penting dalam menyediakan keperluan asas anak, mengasuh, membimbing dan melindungi mereka daripada bahaya.

Membesarkan anak satu tugas yang mencabar. Adakalanya orang dewasa berkelakuan tidak wajar dan membahayakan kanak-kanak. Ini berlaku disebabkan kejahilan, tekanan, harapan yang tidak realistik atau kurang kawalan terhadap tingkah laku mereka sendiri. Masalah mungkin terselindung kerana kanak-kanak sukar untuk menyuarakannya dan orang dewasa pula enggan mendedahkan permasalahannya.

Penderaan fizikal

Mana-mana kanak-kanak yang mempunyai kesan lebam, luka, lecur atau retakan tanpa penjelasan yang munasabah mungkin sedang mengalami penderaan fizikal terutama apabila terdapat beberapa kecederaan yang berulang.

Tindakan berikut adalah satu bentuk penderaan dan sama sekali tidak boleh digunakan sebagai cara untuk mendisiplin kanak-kanak:

• Sebarang pukulan yang menyebabkan kecederaan seperti lebam dan pendarahan

• Memukul bayi atau kanak-kanak petatih yang terlalu kecil untuk memahami apa yang betul dan apa yang salah

• Menendang dan menumbuk

• Menolak seorang kanak-kanak pada sesuatu yang keras atau sehingga dia terjatuh

• Membengkok atau memusingkan tangan atau kaki seorang kanak-kanak

• Meletakkan objek panas, cecair panas atau bahan lain yang menyebabkan lecur contohnya menggosok cili pada kulit, bibir atau mulut

• Memukul kanak-kanak ketika bergaduh dengan orang lain

• Memukul kanak-kanak kerana marah atau kecewa mengenai sesuatu yang tidak ada kena mengena dengannya

• Menghukum kanak-kanak kerana jangkaan yang tidak realistik contohnya memukul kanak-kanak yang berusia dua tahun kerana membuang air kecil dalam seluarnya

• Memukul kanak-kanak ketika bawah pengaruh dadah atau alkohol

• Tidak memberi makanan, minuman atau membuat kanak-kanak berdiri di luar di bawah matahari atau dalam hujan

• Mengunci kanak-kanak dalam ruang yang sempit (seperti dalam penjara)

• Menarik rambut kanak-kanak

Perlu beri kasih sayang

Bayi kecil memerlukan paling banyak penjagaan dan perhatian. Adakalanya, tangisan yang tidak henti-henti mungkin mencabar kesabaran ibu bapa dan pengasuh. Dalam keadaan sedemikian, penting untuk menghubungi ahli keluarga atau rakan bagi mendapatkan sokongan dan bertenang.

Jangan sekali-kali menggoncang, menumbuk atau memukul bayi untuk menghentikan mereka daripada menangis. Tindakan ini sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan kecederaan kepala yang teruk, pendarahan dalam mata dan kecederaan dalaman lain yang boleh mengancam nyawa mereka.

Jika anda sukar mengawal tingkah laku anak anda, minta sokongan daripada seorang ahli keluarga atau rakan dan dapatkan bantuan profesional.

Penderaan emosi

Penderaan emosi berlaku apabila wujudnya interaksi negatif yang berulang antara ibu bapa atau pengasuh dan anak. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak menderita akibat keadaan yang tidak terjamin, harga diri yang rendah dan mengakibatkan masalah psikologi serta tingkah laku.

Contoh penderaan emosi:

• Memarahi dan mengkritik kanak-kanak berulang kali tanpa memberi sebarang galakan positif

• Sentiasa membuat perbandingan dengan orang lain yang ‘lebih baik” atau ‘lebih pandai’

• Kerap tidak mempedulikan kanak-kanak, tidak memberi kasih sayang dan perhatian

• Mengenepikan kanak-kanak dan tidak memberinya hadiah atau layanan yang diberi kepada kanak-kanak lain

• Mengguna label negatif untuk memanggil kanak-kanak seperti ‘tidak berguna’ atau ‘bodoh’

• Membiarkan kanak-kanak melihat babak menakutkan contohnya pertengkaran ganas antara orang dewasa.

Kanak-kanak belajar dengan meniru.

Ibu bapa, guru dan orang dewasa yang menjaga kanak-kanak harus menunjukkan contoh dengan menjadi model peranan yang positif. Kanak-kanak yang mendapat galakan untuk mengembangkan bakat dan menerima maklum balas positif bagi perkara yang mereka lakukan dengan betul akan membesar menjadi individu yang tinggi harga dirinya.

Penderaan seksual

Jangan sekali-kali tidak mempedulikan kanak-kanak yang memberitahu anda ada orang yang menyentuh kemaluannya. Luar biasa bagi kanak-kanak kecil untuk menyatakan sedemikian tanpa sebarang pengalaman secara langsung.

Jelaskan kepadanya bahawa dia berhak untuk berkata ‘Jangan’ jika seseorang meminta dia melakukan sesuatu atau menyentuhnya dengan cara yang membuat dia rasa kurang selesa. Berhati-hati kerana penderaan seksual adalah masalah yang menjejaskan kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Galakkan anak untuk memberitahu anda jika mereka menghadapi sebarang masalah dan sentiasa bersedia untuk mendengar. Kanak-kanak enggan atau takut untuk bersuara jika mereka rasa ibu bapa dan guru tidak mahu mendengar.

Mereka juga mungkin takut dengan ugutan pendera atau diberitahu pendera berkenaan tiada orang akan mempercayai cerita mereka. Pertahankan anak anda. Yakinkan anak anda bahawa anda akan melindunginya daripada sesiapa yang hendak menyakitinya. Dapatkan bantuan profesional jika anda bimbang anak anda mungkin didera secara seksual.

Tanda amaran

Kemungkinan berlakunya penderaan seksual:

• Kesakitan, pendarahan atau discaj sekitar kemaluan atau kesan pada pakaian dalam

• Tingkah laku seksual terhadap orang lain

• Tingkah laku memberontak atau agresif secara tiba-tiba

• Merokok, mengambil dadah atau alkohol

• Kelihatan sedih, murung, menyendiri atau hendak membunuh diri

• Kehamilan

• Ponteng sekolah dan lari dari rumah

• Sukar tidur, mengalami mimpi buruk yang berulang dan kurang selera makan

Pengabaian

Pengabaian berlaku apabila keluarga kanak-kanak gagal menyediakan keperluannya walaupun mereka mampu. Kebanyakan keluarga memahami mereka harus menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Namun, ramai yang tidak sedar betapa pentingnya untuk mengawasi anak mereka. Kurang pengawasan akan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai jenis bahaya seperti lemas, dilanggar kenderaan atau terperangkap dalam ruang tertutup yang menyebabkan kelesuan haba atau lemas. Kanak-kanak yang terbiar juga boleh diculik atau menjadi sasaran penderaan seksual.

Bantu melindungi kanak-kanak

Kanak-kanak bergantung kepada orang dewasa untuk bantuan. Jangan berlengah jika anda mengesyaki berlakunya penderaan. Tindakan pantas anda boleh membantu menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak. Anda boleh hubungi salah satu agensi berikut:

• Talian penting kebangsaan Talian Nur di 15999 atau pejabat kebajikan terdekat

• Balai polis terdekat

• Hospital terdekat

* Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

Pendapat yang terdapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut atau membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 12:16 PM