Waktu kelas berjam-jam, berada di tempat baru, dikelilingi rakan baru, rutin dan peraturan yang berlainan, konsep pembelajaran dan tanggung jawab yang pelbagai, risiko diejek dan disisihkan. Ini antara kebimbangan biasa bagi kebanyakan kanak-kanak yang pertama kali ke sekolah, perasaan takut timbul apabila memikirkan perkara yang tidak diketahui.
Namun, kanak-kanak yang bersedia dari segi mental dapat mengatasi perubahan ini dengan lebih baik. Aspek paling penting bagi seorang kanak-kanak dalam membuat persediaan dari segi mental ialah sokongan ibu bapa yang bermula di rumah.
Anak yang mempunyai ibu bapa yang responsif dan membabitkan diri dalam pembelajaran mereka kemungkinan besar akan mendapat pencapaian yang lebih baik di sekolah. Ia juga mempengaruhi kebolehan anak mengatasi kegagalan dan tekanan, sekali gus mempengaruhi tingkah laku mereka di dalam bilik darjah.
Berikut beberapa tip yang anda boleh amalkan bersama anak untuk membantunya membuat persediaan mental ke sekolah:
1. Aturkan rutin harian
Wujudkan rutin tetap untuk bersedia ke sekolah. Jangan lupa berlatih tidur pada waktu yang tetap bagi memastikannya mendapat tidur mencukupi. Dengan adanya rutin, anak akan lebih bekerjasama, kurang bimbang, membina keyakinan dan ia juga secara tidak langsung mengajar mereka untuk lebih berdikari dan bertanggungjawab.
2. Bincang mengenai sekolah
Bincangkan perkara positif yang bakal mereka lalui atau alami di sekolah (contohnya cara mengenali kawan baru atau mempelajari perkara baru). Anda perlu bersikap lebih terbuka dalam mendengar cerita mereka.
Jawab semua persoalan mereka mengenai sekolah, guru dan sebagainya. Yakinkan anak semuanya akan berjalan lancar dan anda sentiasa bersedia membantunya jika mempunyai sebarang kesulitan.
Lebih baik bagi anak anda jika dia mendapat banyak maklumat mengenai pengalaman baru ini. Elak daripada membuat kenyataan bersifat negatif dan buruk mengenai persekolahan untuk menakut-nakutkan anak contohnya memberi amaran akan dirotan oleh guru jika berperangai buruk atau tidak menyiapkan kerja sekolah.
3. Lawat sekolah
Lakukan lawatan ke sekolah bersama-sama beberapa kali sebelum mula persekolahan. Pada hari suai kenal (diadakan di kebanyakan sekolah) bagi menunjukkan kepada anak tempat penting dalam proses penyesuaian mereka seperti tandas, kantin, pejabat Pengetua, kedai buku sekolah dan sebagainya.
4. Dengar luahan anak
Galakkan mereka menyuarakan semua kebimbangan dan keperluan mereka kepada anda atau orang dewasa lain yang dipercayai dan jangan takut untuk bersuara mengenai sesuatu. Beritahu anak bahawa anda menghargai fikiran dan soalannya. Baik jika anda dan anak anda dapat berkenalan dengan guru kelas sebelum sesi persekolahan bermula.
5. Ajar dan kukuhkan tingkah laku serta kemahiran positif lain
Mengajar anak kemahiran sosial, menyelesaikan masalah dan meleraikan konflik adalah kondusif untuk kesihatan mental yang baik. Kebanyakan nilai ini boleh diajar dengan memberi beberapa tanggungjawab di rumah yang berpadanan dengan umur, aktiviti bermain tidak berstruktur dan menggalakkan pembabitan sosial.
Anda juga boleh bertanyakan soalan dan mengadakan peluang untuk merangsang anak anda berfikir. Elak daripada mengganggu atau mengecil-ngecilkan kebimbangan, masalah, idea atau pendapat mereka. Hormati komen mereka. Lama-kelamaan, anak anda akan mempunyai rasa harga diri yang lebih tinggi dan mampu menghadapi cabaran dengan yakin.
6. Kekal aktif secara fizikal dan tingkatkan kesihatan
Tabiat makan secara sihat, senaman secara tetap dan tidur mencukupi melindungi kanak-kanak daripada berasa stres ketika dalam situasi yang sukar. Senaman yang tetap juga mengurangkan emosi negatif seperti kebimbangan, kemarahan, dan kemurungan.
Persediaan mental boleh memberi banyak manfaat dalam membantu anak anda menyesuaikan diri. Di samping persediaan sosial dan fizikal, pembabitan anda akan memberi banyak kelebihan kepada anak anda berbanding rakannya. Mempunyai asas yang teguh dari awal akan membantu anak anda mendapat pengalaman persekolahan dan kehidupan yang lebih bermakna dan produktif.
Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.