PASUKAN IPD Nilai muncul juara kejohanan bola sepak Ketua Polis Negeri Sembilan 2019, semalam. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
PASUKAN IPD Nilai muncul juara kejohanan bola sepak Ketua Polis Negeri Sembilan 2019, semalam. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali dinobatkan sebagai juara kejohanan bola sepak Piala Ketua Polis Negeri Sembilan 2019, semalam.

Pada perlawanan akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pasukan itu menewaskan IPD Jempol dengan keputusan 2-1.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, beliau berbangga dengan pencapaian diraih anak buahnya dan ia kemenangan pertama sejak menyertai kejohanan pada 2012.

“Alhamdulillah, atas kesungguhan semua pemain, kerja berpasukan dan disiplin yang tinggi dipamerkan setiap anggota kami dinobatkan juara,” katanya.

Menurutnya, skuad kendalian Asisten Superintendan Mohd Fami Jaafar hanya menjalani latihan selama dua minggu dengan mengadakan perlawanan persahabatan bersama tiga pasukan.

“Pada perlawanan bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Jabatan Penjara Malaysia, kami menang semua perlawanan. Kemenangan ini sekali lagi diraih pada kejohanan sebenar,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, kejohanan berkenaan bertujuan membentuk warga polis yang sihat, menerapkan nilai disiplin tinggi selain mencungkil bakat baru dalam sukan.

Katanya, kejohanan dikelolakan Pengerusi Jawatankuasa penganjur, Deputi Superintendan Kamarul Rezal Jenal berjalan lancar dan ia mencapai matlamat muafakat dalam pasukan.

Pada kejohanan itu, tempat ketiga diraih pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) Seremban.

Sebanyak 11 pasukan menyertai kejohanan termasuk IPD Kuala Pilah, Jelebu, Rembau, Port Dickson, Seremban, Tampin, Pusat Latihan Polis Air Hitam dan IPK negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 8:45 AM