Anggota bomba membantu membersihkan lumpur di rumah seorang mangsa banjir di Kampung Basung. Hulu Terengganu dan kanan, anggota polis bergotong-royong membersihkan sekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, Kuala Terengganu. - Foto NAZDY HARUN/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBA
Anggota bomba membantu membersihkan lumpur di rumah seorang mangsa banjir di Kampung Basung. Hulu Terengganu dan kanan, anggota polis bergotong-royong membersihkan sekolah di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, Kuala Terengganu. - Foto NAZDY HARUN/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu memberikan bantuan sekali beri RM1,000 kepada setiap keluarga menjadi mangsa banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, bantuan itu, masing-masing RM500 daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat diberi bagi mengurangkan beban mangsa.

“Bantuan akan diberi sebaik senarai lengkap diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bantuan itu akan diterima setiap keluarga di lapan daerah yang dilanda banjir baru-baru ini," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Razif bagaimanapun berkata, walaupun Terengganu diisytiharkan pulih daripada banjir selepas semua pusat pemindahan ditutup semalam, kerajaan negeri sentiasa bersiap siaga menghadapi apa jua kemungkinan berikutan ramalan Jabatan Meteorologi musim monsun berterusan sehingga Mac ini.

"Kita akan memastikan semua pangkalan hadapan terus dilengkapi dengan segala

kemudahan.

“Kerajaan negeri juga berterima kasih kepada semua agensi negeri dan persekutuan yang diselaraskan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus lumus memastikan segala proses pemindahan penduduk terjejas dan pusat pemindahan berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang menilai kerosakan jalan raya, jalan pertanian termasuk premis kediaman bagi menyediakan peruntukan untuk baik pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 7:31 PM