NORFarahan mengalih perkakas di dapur   rumahnya yang dinaiki air   di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus.
NORFarahan mengalih perkakas di dapur rumahnya yang dinaiki air di Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus.
Helmy Abd Rahman


Kuala Nerus: “Saya lihat air berpusar di bawah rumah dan semakin naik. Saya beritahu isteri supaya segera bersiap untuk berpindah,” kata Mohamad Lenon Embong, 61, dari Kampung Alor Damat, Batu Rakit, di sini.

Mohamad Lenon dan isterinya, Sawiyah Muda, 56, antara mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan (PP) Dewan Serbaguna Mengabang Telung, awal pagi semalam selepas kediamannya dinaiki air.

“Keadaan menakutkan dan apabila air mula mencecah lantai rumah, saya tidak berfikir panjang dan terus ajak isteri pindah jam 1 pagi tanpa bawa apa-apa,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan itu, semalam.

Hujan lebat sejak petang kelmarin menyebabkan Kampung Tanjung dan Alor Damat ditenggelami air setinggi 0.5 meter.

Sebanyak dua keluarga membabitkan 14 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan itu yang dibuka jam 1.21 pagi semalam.

Mangsa itu terdiri daripada lapan lelaki dewasa, empat wanita dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan.

Seorang lagi mangsa, Norfarahan Baharudin, 16, berkata, air naik terlalu pantas selepas hujan berterusan terutama menjelang awal pagi semalam.

“Mulanya air naik sedikit jam 11 malam tetapi tidak sampai setengah jam kemudian, air memenuhi ruang dapur rumah kami.

“Saya bersama ayah, ibu, abang dan datuk tiada pilihan dan berpindah segera. Harap keadaan ini cuma sementara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri melalui jawatankuasa khas bersiap awal menghadapi kemungkinan banjir dan usaha memindahkan mangsa terjejas tidak berdepan masalah.

“Saya harap mangsa mematuhi arahan pihak berkuasa supaya semua berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 5:14 AM