Machang: Kerajaan negeri Terengganu bersedia berkongsi kepakaran dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan pihaknya dalam menangani banjir.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, perkongsian itu atas dasar membantu negeri lain terutama Kelantan yang dilanda bah besar, baru-baru ini.

“Kemaman sebelum ini mencapai tahap piawaian emas dalam pengurusan banjir dan kami bersedia berkongsi maklumat itu dengan negeri lain.

“Kita juga sentiasa menambah baik dan memperkasakan SOP sedia ada bagi memastikan jumlah kerosakan dan kerugian akibat banjir dapat dikurangkan.

“Walaupun pusat pemindahan sementara di Terengganu sudah ditutup, tetapi petugas dan jentera masih bekerja dan bersiap sedia, malah semua persiapan dan bekalan makanan diletakkan di pangkalan hadapan,” katanya ketika ditemui menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat banjir di Sekolah Kebangsaan Pangkal Mak Wan, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Ahmad Razif menyampaikan sumbangan berbentuk barang keperluan harian kepada 800 keluarga di daerah ini.

Antara keperluan itu termasuk selimut, dapur, tikar, beg sekolah dan telekung sembahyang.

Beliau juga menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM100,000 kepada Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:58 AM