Noor Hashim menunjukkan gambar Yogeswaran yang maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata besi dan objek tajam di sebuah taman permainan di Taman Damai Jaya pada sidang media  di IPD Iskandar Puteri. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Noor Hashim menunjukkan gambar Yogeswaran yang maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata besi dan objek tajam di sebuah taman permainan di Taman Damai Jaya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Mohd Sabran Md Sani


Iskandar Puteri: Seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan besi dan objek tajam di sebuah taman permainan di Jalan Makmur 12, Taman Damai Jaya, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, E Yogeswaran, 26, sedang minum bersama seorang saudara lelakinya di kawasan itu.

Katanya, sebuah Proton Waja menghampiri mangsa sebelum sekumpulan lelaki keluar menyerangnya.

"Mangsa cedera di kepala akibat dipukul dengan besi dan objek tajam yang belum dikenalpasti.

"Saudara mangsa yang cuba membantu juga cedera di tangan kiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa dikejarkan di sebuah hospital swasta dan disahkan meninggal dunia jam 8.30 pagi sebelum mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Katanya, polis sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Saksi boleh berhubung dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri, Asisten Superintendan Riduan Khalib di talian 07-5114222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 5:46 PM