FOTO NSTP
FOTO NSTP
Mohd Sabran Md Sani


DUA lelaki ditahan, manakala dua lagi diburu polis susulan insiden pukul seorang operator kilang di Singapura di sebuah stesen minyak di Tanjung Kupang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 21 tahun pada 7.28 petang.

“Bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan polis dari cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Iskandar Puteri membuat serbuan dan tangkapan terhadap dua lelaki berusia 22 dan 25 tahun di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, 11.40 malam tadi.

“Turut dirampas dua topi keledar berwarna merah dan biru serta jaket berjenama bagi membantu siasatan terhadap kes itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun siasatan lanjut dijalankan membabitkan kegiatan kongsi gelap.

“Salah seorang suspek mempunyai tatoo burung layang-layang di pergelangan tangan kerana disyaki berunsurkan kegiatan kongsi gelap.

“Semakan rekod jenayah bagaimanapun tidak menemukan sebarang kes membabitkan mereka, selain mengaku terbabit dalam kes itu (merusuh menggunakan senjata),” katanya.

Katanya, dua daripada suspek lain berusia 20-an juga diburu polis bagi membantu siasatan, selain mengambil keterangan mereka sebagai saksi.

Menurutnya, polis melakukan siasatan dan mengenal pasti identiti suspek berdasarkan nombor pendaftaran motosikal dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK) kerana memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966.

Akhbar ini melaporkan mengenai seorang pekerja kilang di Singapura yang cedera di dahi dan mulut dipukul sekumpulan lelaki di sebuah stesen minyak di Tanjung Kupang, Gelang Patah, pada Selasa lalu.

Kejadian jam 6.20 petang itu mengakibatkan mangsa menerima empat jahitan di dahi akibat dilibas menggunakan topi keledar oleh lelaki tidak dikenali.

Terdahulu insiden menimpa mangsa tular di Facebook yang menyifatkan perbuatan lelaki berkenaan sebagai keterlaluan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 1:32 PM