GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani

Lima lelaki ditahan cederakan lelaki berdekatan kelab malam.

[email protected]

ISKANDAR PUTERI:

SELISIH faham punca seorang lelaki cedera di kepala akibat diserang lima lelaki bersenjatakan pengunci stereng dan rotan dalam kejadian berdekatan sebuah kelab malam di Taman Bukit Indah di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, dalam kejadian jam 4.10 pagi itu seorang daripada suspek tidak puas hati dengan tindakan mangsa mengundurkan kereta hingga hampir melanggarnya.

“Kejadian itu mengakibatkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum salah seorang daripada suspek mengambil rotan dan seorang lagi mengambil pengunci stereng lalu memukul mangsa di kepala.

“Mangsa berusia 20 tahun yang cedera di kepala dan badan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Taman Angkat AMANITA Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di Dataran JKP Taman Nusantara di sini hari ini.

Menurutnya, kelima-lima suspek berusia 19 hingga 32 tahun itu ditahan di tempat kejadian dan direman tiga hari hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.

Noor Hashim berkata, kejadian disedari apabila pegawai dan anggota yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit melihat kejadian itu lalu menghampiri mangsa.

“Anggota terbabit menghubungi IPD Iskandar Puteri untuk memaklumkan kejadian dan meminta bantuan selain menahan lima lelaki berkenaan bagi mengelak kes menjadi lebih buruk.

“Pada masa sama senjata yang digunakan iaitu rotan dan pengunci stereng mangsa dirampas sebagai bahan bukti,” katanya.

Ends....

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 9:16 PM