YOGESWARAN
YOGESWARAN
Mohd Sabran Md Sani

Iskandar Puteri: Seorang maut manakala seorang lagi cedera ringan apabila dua bersaudara diserang sekumpulan lelaki tidak dikenali bersenjatakan besi dan objek tajam di sebuah taman permainan di Jalan Makmur 12, Taman Damai Jaya, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 pagi berlaku ketika mangsa, E Yogeswaran, 26, minum bersama seorang saudara lelakinya di kawasan itu.

Katanya, dalam kejadian di kawasan gelap itu, mangsa dihampiri sebuah kereta jenis Proton Waja sebelum penumpangnya bertindak agresif dengan menyerangnya menggunakan objek tajam dan keras.

“Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Singapura cedera di kepala akibat dipukul dengan senjata besi dan objek tajam yang belum dikenal pasti.

“Saudara lelaki mangsa lingkungan 20-an yang cuba membantunya juga cedera di tangan kiri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, semalam.

Polis, katanya, sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek dan meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat berkaitan kes itu.

Katanya, kejadian berkenaan dilaporkan orang awam pada jam 3.04 pagi selepas melihat mangsa dipukul beberapa lelaki di taman itu.

“Kejadian berlaku ketika saudara lelaki mangsa yang berusia lewat 20-an sedang membuang air kecil berdekatan lokasi kejadian.

“Mangsa yang ketika itu berada di taman untuk minum minuman keras didatangi kumpulan lelaki dipercayai antara tiga hingga empat orang dan memukulnya dengan objek tajam dan keras,” katanya sambil menambah, lokasi kejadian kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 11:11 AM