Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Kehadiran beberapa muka baharu dalam skuad Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tidak menghalang pemain sayap kanan Azamuddin Akil untuk terus bekerja keras bagi mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama.

Malah, Azamuddin yang sinonim dengan panggilan Alex dalam kalangan rakan sepasukan menyifatkan kelibat pemain baharu yang mewarnai skuad Harimau Selatan mampu memberi persaingan sihat untuk bersaing merebut tempat dalam skuad utama.

Dia menyifatkan kehadiran pemain baharu seperti Hazwan Bakri, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rashid, Haziq Nadzli dan R Gopinathan selain kelibat pemain import mampu memantapkan lagi skuad itu mengharungi saingan liga elit domestik.

“Tidak timbul masalah untuk berada dalam kesebelasan utama sebaliknya ia adalah persaingan sihat dan ia memberi lebih kekuatan kepada pasukan tatkala setiap pemain akan mempamerkan aksi terbaik untuk berada dalam skuad utama.

“Dengan kelibat pemain baharu, semua pemain termasuk saya sendiri akan berlatih bersungguh-sungguh dan ia juga memberi kelebihan buat pasukan kerana memiliki pemain yang bersedia turun dalam skuad utama.

“Malah, saya tidak boleh ambil mudah dan sepanjang latihan kena serius dan mengikut perancangan taktikal jurulatih, Mario Gomez yang pasti mahu setiap pemain memperagakan aksi terbaik tidak kira ketika latihan dan permainan sebenar,” katanya.

Azamuddin yang masuk musim kedua bersama skuad Harimau Selatan jelas bersyukur kerana beraksi untuk pasukan yang melakar hatrik kejuaraan Liga Super tiga musim berturut-turut dan mahu membantu memburu kejuaraan keempat musim ini.

Jelasnya lagi, sepanjang lebih dua minggu menjalani latihan, sudah nampak keserasian dan peningkatan antara pemain lama dan baharu dan ia juga memudahkan tugas ketua jurulatih Gomez mempraktikkan corak taktikal yang lebih mantap.

“Tiga aksi persahabatan pramusim di Thailand dengan perlawanan pertama menentang Chonburi FC, malam esok, penting untuk membentuk persefahaman lebih mantap dan mahukan kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:11 AM