Safawi Rasid
Safawi Rasid
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Meskipun kelibat Safawi Rasid tampak mula menjalani latihan bersama skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), belum ada kepastian sama ada dia diturunkan pada aksi menentang Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Ayam tambatan skuad Harimau Selatan itu mengalami kecederaan ketika aksi liga menentang UiTM FC pada 13 Mac lalu sekali gus memaksa dia tersisih dalam lima aksi liga dan posisi sayap kanan diambil alih Ariff Aiman Hanafi yang semakin konsisiten corak permainannya.

Pengendali JDT, Benjamin Mora menegaskan, Safawi mula menjalani latihan dan berusaha kembali berada di tahap kecergasan memuaskan selepas pulih daripada kecederaan.

Namun, pengendali kelahiran Mexico itu enggan beri jaminan sama ada Safawi beraksi dalam kesebelasan utama dalam pertembungan menentang Sri Pahang FC, sebaliknya pemain itu perlu bekerja keras untuk mendapatkan kembali posisi sayap kanan daripada Ariff Aiman.

"Itu persaingan sihat dalam kalangan setiap pemain di JDT, mereka tahu untuk berada dalam kesebelasan utama, setiap pemain harus ada kesungguhan dan mampu berdaya saing dengan rakan sepasukan untuk rebut tempat kesebelasan utama.

"Setiap kali sesi latihan, mereka beri yang terbaik dan itu rahsia utama JDT meraih kemenangan kerana mereka tahu latihan dilaksanakan untuk mencapai objektif, tahu mengenai sistem dipratikkan.

"Jadi sama ada Safawi beraksi atau tidak, Tunggu sahaja malam esok (ini) dan saya enggan dedahkan lagi kerana saya mahu lihat tahap kecergasannya dan kemampuan beliau beraksi sehingga tamat perlawanan," katanya.

Ditanya mengenai pertembungan menentng Sri Pahang FC, Mora tidak menolak JDT berdepan aksi sengit daripada skuad yang kini dikendali Dollah Salleh tatkala pasukan itu pasti mahu keluar daripada kelompok bawah liga.

Malah Mora mendedahkan setiap pasukan berdepan JDT tampil dengan corak permainan berbeza berbanding ketika menentang pasukan lain yang menyebabkan JDT perlu lebih berwaspada bagi mengelak terperangkap dengan taktikal pasukan lawan.

"Bila jumpa JDT mereka tampil dengan corak permainan luar biasa kerana mereka beraksi dengan penuh bersemangat semata-mata mahu tewaskan JDT.. Kami tahu situasi itu dan tidak boleh bersikap sambil lewa.

"Sri Pahang pasukan hebat dan kami hormati mereka tatkala beraksi di laman lawan. Apa pun kami cuba bawa pulang tiga mata," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 6:36 AM