Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Gagal untuk beraksi ketika dipanggil untuk latihan bersama Skuad Projek Sukan SEA 2017 akibat kecederaan tidak mematah impian Dominic Tan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Bagi pertahanan Johor Darul Ta’zim II itu yang diketepikan pada aksi persahabatan menentang skuad B-22 Filipina dan Nepal pada 23 dan 27 Mac lalu bukan penghalang untuk berusaha memikat pengendali Frank Bernhardt.

“Saya terkilan selepas tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan persahabatan Mac lalu akibat kecederaan dan aksi Piala Negara-Negara yang bermula 3 Jun ini menjadi medan terbaik untuk kembali berada dalam kesebelasan utama.

“Sepanjang aksi liga ketika bersama Johor DT II, saya kerap beraksi dalam kesebelasan utama dan ia pendedahan terbaik yang diraih apabila diturunkan dalam 12 perlawanan.

“Malah rakan sepasukan juga sentiasa memberi kata perangsang dan menyuntik lebih keyakinan untuk saya beraksi konsisten dan tidak dinafikan Baihakki Khaizan kerap memberi nasihat dan menegur apa jua kesalahan ketika latihan dan perlawanan,” katanya.

Bekas kapten Harimau Muda C itu optimis betapa barisan pemain yang dipanggil pengendali dari Jerman itu bakal dibarisi pemain yang mampu menggalas tugas untuk mengharumkan nama negara pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Katanya, latihan bermula hari ini dan kemudian semua pemain akan ke Melaka untuk berdepan skuad B-21, Singapura dan kejohanan itu penting untuk membentuk persefahaman awal sebelum mengharungi beberapa siri aksi persahabatan di China dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 9:00 AM