Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) berada di landasan terbaik untuk melangkah ke suku akhir selepas membenam Angkatan Tentera Malaysia 4-0 pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Larkin, kelmarin.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Mario Gomez muncul sebagai satu-satunya pasukan bersaing dalam kempen piala berprestij yang belum tewas selepas merekod tiga kemenangan berturut-turut.

Tiga mata diraih skuad bergelar Harimau Selatan itu membuktikan betapa pasukan itu masih kebal di laman sendiri dan sukar untuk pasukan yang bertandang mencalar rekod bersih mereka.

Bagi Gomez kemenangan itu cukup ‘sentimental’ selepas kelibat beberapa pemain skuad Harimau Malaya yang baru pulang daripada tugasan di Timor Leste tetap mahu diturunkan tanpa memikirkan faktor kepenatan.

“Inilah sikap profesional yang ada pada pemain saya dan apa mereka lakukan satu pengorbanan cukup bernilai dan pujian harus diberikan kepada semua pemain termasuk beberapa pemain skuad kebangsaan.

“Walaupun pada awalnya saya tidak mahu menurunkan Aidil Zafuan Radzak, Safee Sali, S Kunanlan dan Safiq Rahim namun keinginan mereka begitu membara untuk diturunkan maka saya buat keputusan untuk membariskan dalam kesebelasan utama.

“Saya tidak nafikan kesungguhan pemain skuad kebangsaan yang mahu diturunkan menjadi pencetus semangat semua pemain untuk mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan memihak Johor DT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 9:42 AM