Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kelibat beberapa bekas pemain Harimau Muda yang menyertai Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan ibarat penyatuan semula selepas sekian lama berpisah sejak skuad itu dibubarkan pada 2015.

Kehadiran Hazwan Bakri, Syahrul Azwari Ibrahim dan Nazmi Faiz Mansor akan bergandingan bersama rakan sepasukan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (gambar), Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Gary Steven Robbat dan Mahali Jasuli.

Bagi Azrif yang menempuh musim kedua bersama skuad Harimau Selatan menyifatkan ia langkah tepat dan mampu memberi impak positif ketika kelab itu memiliki gandingan pemain berpengalaman dan muda yang akan menjadi pelapis.

“Selepas Harimau Muda dibubarkan, semua pemain dengan haluan masing-masing namun pada musim baharu ini, kami dipertemukan semula apabila beraksi dalam satu pasukan.

“Ia perkembangan positif yang dibuat pemilik Johor DT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila mengikat bekas pemain Harimau Muda dan saya anggap ia langkah tepat tatkala kami sebagai pemain pelapis.

“Pemain senior akan menjadi mentor kami dan ia amat baik untuk meningkatkan lagi permainan memandangkan tunjuk ajar mereka akan menjadikan kami lebih bersemangat dan mampu bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Azrif yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua Julai lalu bertekad untuk meneruskan kecemerlangan bagi memastikan skuad itu mengekalkan kejuaraan Liga Super bagi empat musim berturut-turut.

Dia menegaskan walaupun kehadiran beberapa pemain baharu namun ia mencetus saingan sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan sudah pasti latihan keras dan sentiasa menjaga disiplin sepanjang sesi latihan akan memberi kelebihan kepada semua pemain untuk berada dalam skuad utama.

Katanya, biarpun pada musim ini dia kerap diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi tidak boleh bersikap sambil lewa sebaliknya harus bekerja keras lagi untuk mempamerkan aksi terbaik terutama pada aksi persahabatan pramusim di Thailand pertengahan Januari ini.

“Bagi musim baharu nanti, kami tahu beberapa pasukan tampak begitu bersungguh-sungguh memperkuatkan skuad dan kami tidak boleh ambil mudah sebaliknya kena beri yang terbaik untuk memburu kemenangan,” ujar Azrif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 11:08 AM