Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Sabah, Superintendan Mohamed Fadzil A Rahman (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM1 juta yang dirampas. FOTO Malai Rosmah Tuah
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Sabah, Superintendan Mohamed Fadzil A Rahman (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM1 juta yang dirampas. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Polis Sabah merampas 10.3 kilogram syabu bernilai RM1 juta dan menahan empat suspek dalam dua serbuan di sekitar Kota Kinabalu, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Superintendan Mohamed Fadzil A Rahman berkata, serbuan pertama dilakukan pada 2.45 pagi di sebuah hotel selepas mendapat maklumat risikan.

"Dua suspek lelaki berada di dalam bilik terbabit dan hasil pemeriksaan menemui sebuah beg pakaian mengandungi 10 bungkusan plastik teh disyaki dadah jenis syabu.

"Jumlah keseluruhan dadah dianggarkan 10.3 kg dan hasil soal siasatan membawa dua lagi tangkapan suspek termasuk seorang wanita di lokasi berasingan sekitar Kota Kinabalu," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat JSJN IPK Sabah, di sini tadi.

Mohamed Fadzil berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 34 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Rampasan ini yang terbesar membabitkan kes syabu di Kota Kinabalu tahun ini dan nilai sitaan keseluruhan RM1158,925 termasuk nilai dadah, tiga kenderaan dan beberapa barangan kemas serta akaun bank," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 11:30 AM