Juwan Riduan


EMPAT wanita adalah antara 13 individu yang ditahan polis serta merampas ganja serta syabu bernilai RM107,200 dalam dua kes berasingan di Kota Kinabalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, 12 individu termasuk empat wanita berusia 18 hingga 27 tahun ditahan dalam empat serbuan berasingan pada 15 Mei lalu.

Katanya, serbuan turut merampas 1.4 kilogram ganja dan 600 gram syabu bernilai RM92,500 berdasarkan harga pasaran semasa.

"Serbuan dijalankan susuan tangkapan tiga lelaki di Pos Laju di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur, Sepanggar jam 9.15 pagi Jumaat lalu.

"Dalam tangkapan itu, polis menemukan 578 gram ganja dalam bungkusan plastik yang dipercayai baru sampai daripada Semenanjung Malaysia," katanya dalam sidang media di IPK Sabah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

ZAINI (dua dari kiri) menunjukkan alat timbang syabu ketika sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
ZAINI (dua dari kiri) menunjukkan alat timbang syabu ketika sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

Mengulas lanjut, Zaini berkata, pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki suspek pula mendapati ada dua lelaki dan mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan berkenaan menemukan 548.22 gram ganja yang juga dipercayai baru tiba dari Semenanjung Malaysia melalui kiriman pos laju.

"Siasatan lanjut terhadap suspek berkenaan membawa kepada tiga lagi serbuan pada hari yang sama di tiga rumah berasingan di sekitar Kota Kinabalu," katanya.

Zaini berkata, dalam serbuan susulan itu, polis berjaya menahan sembilan lagi individu bersama baki rampasan dadah yang ditemui di semua rumah serbuan," katanya.

Sementara itu, Zaini berkata, kes kedua membabitkan penahanan seorang lelaki warga asing bersama 98 gram syabu bernilai RM14,700 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Sulaman, Menggatal, semalam.

Katanya, semua suspek berkenaan masih ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Mei depan.

"Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 2:48 PM