BAGAN Datoh Bike Days dihadiri lebih 400 pemilik motosikal.
BAGAN Datoh Bike Days dihadiri lebih 400 pemilik motosikal.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Sambutan memberang­sangkan daripada peserta dan pengunjung pada karnival permotoran Bagan Datoh Bike Days yang julung kalinya diadakan jelas membuktikan program permotoran semakin mendapat tempat di hati masyarakat walau di mana ia dianjurkan.

Kehadiran lebih 400 motosikal berkuasa besar dari pelbagai negeri dan dimeriahkan dengan puluhan motosikal autoshow dan streetcub, membingitkan lagi suasana karnival yang diadakan di pekarangan Bangunan UMNO Simpang Empat Bagan Datoh, Perak, baru-baru ini.

Presiden Kelab Anson Bikers, Yusoff Sudin berkata, pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi tampil di karnival terbabit dengan satu tujuan iatu mengeratkan silaturahim di samping bertukar pandangan mengenai ilmu automotif.

Dalam masa sama himpunan terbabit juga adalah satu medium kepada kelab untuk mengumpul dana bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Selain berkumpul dan mempamerkan motosikal yang pelbagai rupa dan bentuk, ia bertujuan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan sesama peserta dan pengunjung serta dalam masa sama kelab kami turut mengumpul dana bagi membantu golongan tidak bernasib baik,” katanya.

Di karnival terbabit pengunjung dan peserta dihiburkan dengan persembahan band tempatan serta diadakan cabutan bertuah kepada peserta dengan dua hadiah utama iaitu motosikal Demak 111cc dan sebuah Pocket Bike.

Sementara bagi peserta autoshow, hadiah berupa kelengkapan dan peralatan motosikal berjenama ditawarkan kepada pemenang terpilih. Lebih menggamatkan suasana, kelibat dua lelaki watak filem sains fiksyen Predator, menjadikan acara itu lebih meriah apabila ramai pengunjung dan peserta tidak melepaskan peluang bergambar kenangan.

Yusoff berkata, kelab yang ditubuhkan enam tahun lalu, kini mempunyai hampir 100 ahli dan penubuhan kelab bukan hanya untuk aktiviti keramaian sebaliknya turut membantu golongan yang tidak bernasib baik.

“Terdahulu, kelab membantu sebuah pusat tahfiz di Tapah dan bencana banjir di Kelantan, pihak kami turut menghantar empat buah pacuan empat roda yang dipenuhi bantuan makanan di mana dana diperoleh hasil kutipan daripada ahli kelab dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang,” katanya.

Dalam pada itu Pegawai Daerah Datuk Hamzah Hussin yang merasmikan program itu turut teruja dengan karnival permotoran yang kali pertama diadakan di Bagan Datoh, malah beliau turut memperagakan motosikal berkuasa tinggi miliknya dalam acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:01 AM