RUANG tempat letak kereta penuh dengan kereta ubah suai.
RUANG tempat letak kereta penuh dengan kereta ubah suai.
DATSUN SSS menunjuk kehebatan mengeluar percikan api melalui ekzos.
DATSUN SSS menunjuk kehebatan mengeluar percikan api melalui ekzos.
HONDA C70 yang diubah suai dalam kategori Kustom Terbuka.
HONDA C70 yang diubah suai dalam kategori Kustom Terbuka.
KATEGORI Retro menerima penyertaan paling banyak.
KATEGORI Retro menerima penyertaan paling banyak.
Oleh Erywan Norshal

Biarpun cuaca tidak menentu, ia tidak mematahkan semangat peminat dunia permotoran tempatan untuk menyertai pertandingan Autoshow Karnival Harian Metro (HM) Padat 2014 yang diadakan di tapak karnival di Bazarena, Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor hujung minggu lalu.

Mungkin jika bukan untuk menghadiri karnival itu, mereka tidak akan membiarkan jentera yang diubah suai dengan belanja ribuan ringgit terbabit terkena hujan atau jemur panas.

Kehadiran mereka menghangatkan tapak karnival untuk pengunjung membanjiri lokasi dan gerai aktiviti sejak ia bermula sepanjang minggu lalu.

Pertandingan autoshow itu terbahagi kepada dua iaitu kategori kereta dan motosikal yang masing-masing menerima penyertaan sangat memberangsangkan biarpun ada beberapa acara sama diadakan pada minggu berkenaan.

Sepanjang program bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu, setiap ruang pameran sesak dengan pengunjung yang mahu melihat lebih dekat kenderaan dipamerkan. Segelintir pengunjung sanggup membiarkan baju mereka dibasahi hujan semata-mata melihat kenderaan ubah suai yang unik dan kreatif.

Kenderaan yang mengambil bahagian juga mempunyai nilai tersendiri berhubung reka bentuknya bagi memenuhi kriteria kategori dipertandingkan.

Pada autoshow kereta dan motosikal itu, sebanyak 22 kategori dipertandingkan, yang mana peserta mempertaruhkan jentera masing-masing dengan menawarkan hadiah trofi, sijil penyertaan, baucar minyak BHPetrol dan wang tunai keseluruhan melebihi RM7,000. Rata-rata peserta menyatakan mereka tidak mengejar kemenangan, sebaliknya kepuasan kerana hanya melalui pertandingan itu mereka dapat mengetengahkan kehebatan kenderaan masing-masing.

Penyelaras program Autoshow Karnival HM, Rizalman Mohammad berkata, pertandingan itu menerima hampir 80 penyertaan dalam kategori kereta, manakala hampir 100 peserta dalam kategori motosikal.

Menurutnya, jumlah penyertaan itu membuktikan acara autoshow tempatan mempunyai peminatnya tersendiri, yang mana hampir 20 peratus adalah peserta baru terbabit dalam bidang berkenaan.

"Biarpun baru berkecimpung dalam bidang itu, segelintir daripada mereka mempamerkan hasil kreativiti menarik dan masih boleh diperbaiki.

"Ini terbukti apabila kami membuka kategori baru membabitkan segmen MPV, Van dan Street Cup, yang mana kebanyakan peserta kali pertama menyertai pertandingan itu," katanya.

Rizalman berkata, pihaknya bangga dengan kehadiran penyertaan kategori motosikal Street Cup kerana ia mempunyai peminatnya tersendiri biarpun konsep ubah suai itu masih baru di negara ini.

Menurutnya, setiap kali pertandingan, kategori Proton dan Perodua Standard paling banyak menerima penyertaan, yang mana mereka adalah ahli kelab kereta tempatan yang sentiasa menyokong pertandingan autoshow anjuran Harian Metro.

"Selain itu, pihak penganjur terkejut apabila peserta sanggup meredah ratusan kilometer semata-mata untuk menyertai program ini membabitkan peserta dari Perak, Negeri Sembilan dan Johor," katanya.

Hadiah disampaikan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Ahmad @ Salim Bachok yang juga Pengerusi Karnival HM Padat. Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Shariffudin Mohamed dan Pengarang Rencana Harian Metro, Roslan Ibrahim.

Autoshow turut itu menerima tajaan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan KW Motorsport.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:01 AM