PELBAGAI motosikal klasik.
PELBAGAI motosikal klasik.
Oleh Erywan Norshal


Masyarakat di sekitar Lembah Klang berpeluang melihat keunikan motosikal ubah suai yang menyertai pertandingan Autoshow Karnival Padat Harian Metro 2014 di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, hari ini.

Paling menarik perhatian dalam pertandingan itu adalah kategori Kustom Terbuka, yang mana motosikal diubah suai secara ekstrem sehingga bentuk asalnya bertukar 100 peratus.

Ini turut membuktikan hasil seni anak tempatan dalam dunia permotoran semakin berkembang dengan mempamerkan kreativiti mengagumkan.

Pada masa sama, satu kategori baru turut diadakan iaitu Street Cup Terbuka selepas motosikal kapcai menerusi Honda C70 menjadi kerangka asas dalam ubah suai berkenaan.

Ia membabitkan modifikasi ringkas selepas beberapa komponen motosikal itu 'dibuang' termasuk bahagian belakang dan lampu depan sebelum dipadankan dengan tayar lebar.

Penyelaras Programnya, Rizalman Mohammed berkata, selain itu pihaknya me­nganjurkan lima lagi kategori lain membabitkan Klasik Terbuka, Retro RXS/RXK, Semburan Cat/Pelekat Terbuka, Kapcai/Skuter Standard dan Kapcai/Skuter Ubahsuai.

Menurutnya, mereka yang mahu me­nyertai pertandingan dalam kategori itu perlu membayar yuran pendaftaran RM40 dan pemenang pertama sehingga ketiga berpeluang memenangi hadiah wang tunai serta trofi.

"Kita juga menyediakan empat kategori tambahan membabitkan Retro Terbuka, Motosikal Lasak Terbuka dan Motosikal Berkuasa Tinggi Terbuka.

"Kategori tambahan ini membuka ruang kepada peminat motosikal yang baru berjinak-jinak dalam autoshow untuk mempamerkan jentera masing-masing, sekali gus tidak perlu bersaing dengan peserta berpe­ngalaman," katanya.

Rizalman berkata, bagi kategori tambahan itu, mereka yang mahu menyertainya perlu membayar yuran pendaftaran RM30 dengan hadiah pertandingan adalah trofi bagi pemenang pertama sehingga kelima.

Menurutnya, lima trofi disediakan kepada setiap kelab motosikal tempatan dengan membawa ahli yang ramai ke karnival berkenaan.

Untuk sebarang maklumat lanjut me­ngenai Autoshow Karnival Padat Harian Metro 2014, hubungi Rizalman Mohammed di talian 017-6549244 atau Erywan Norshal di talian 016-2635956.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Disember 2014 @ 5:00 AM