PENGUNJUNG melihat pameran motosikal.
PENGUNJUNG melihat pameran motosikal.
PESERTA bermain sepak raga.
PESERTA bermain sepak raga.
PELBAGAI jenama motosikal berkuasa tinggi.
PELBAGAI jenama motosikal berkuasa tinggi.
PELBAGAI jenama motosikal berkuasa tinggi.
PELBAGAI jenama motosikal berkuasa tinggi.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Terengganu Bike Week (TBW) tidak asing lagi dalam kalangan peminat dan pemilik motosikal berkuasa tinggi di negara ini. Temasya kali keempat dianjurkan 2 hingga 4 Oktober lalu sekali lagi menjadi medan terbaik bagi mengumpulkan seluruh peminatnya.

Deruman jentera yang melintasi Dataran Batu Buruk menggamatkan suasana di situ dengan kehadiran lebih 1,600 pemilik motosikal berkuasa tinggi dan sederhana mewakili 45 kelab permotoran di negara ini.

Lebih menyerikan TBW apabila dua kelab motosikal berkuasa tinggi wanita dari ibu kota iaitu Ladies Bikers dan Desmodonna Malaysia turut mengambil bahagian selain penunggang dari Thailand dan Singapura.

Pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi termasuk ‘superbike’ dan ‘touring’ dapat dilihat memenuhi parkir di sekitar Kuala Terengganu.

Peserta, Sham Ridzuan, 41, dari Singapura berkata, dia dua kali menyertai TBW dan berpuas hati dengan program selingan yang dianjurkan di negeri itu.

“TBW berbeza dengan perhimpunan motosikal di tempat lain kerana ia memperkenalkan peserta dengan budaya dan keindahan negeri ini.

“Banyak tempat unik serta menarik di negeri ini dan ada antaranya hanya boleh dinikmati melalui menunggang motosikal. Saya berpuas hati menyertai TBW dan akan terus menyertainya pada setiap tahun selepas ini,” katanya.

Sham berkata, dia turut merakam banyak gambar sepanjang perjalanan dari Singapura ke TBW dan ia akan dikongsi bersama rakan di Singapura bukan sekadar berkaitan motosikal tetapi tempat menarik di sepanjang perjalanan terutamadi Terengganu.

“Jalan dan laluan di negeri ini selamat untuk menunggang, malah penerimaan orang tempatan juga sangat baik membuatkan kami selesa datang ke sini,” katanya.

Rakannya, Mohd Fizlan Ramli, 33, berkata, dia kerap menyertai perhimpunan yang dianjurkan termasuk di Krabi Bike Week dan Phuket Bike Week di Thailand tetapi TBW berlainan dan paling menarik.

“Memang seronok dapat berkonvoi ke kawasan kampung dan menyelami budaya di sesuatu tempat yang sememangnya berbeza dengan budaya di tempat sendiri.

“Pengalaman menunggang motosikal berlatarkan pemandangan pantai paling menyeronokkan menyebabkan saya sentiasa menanti TBW setiap tahun,” katanya dari Kelab Riders Speed Machine (RSM).

Peserta wanita, Nor Ayunni Dzulkarnain, 29, dari Gombak pula berkata, dia kali pertama menyertai perhimpunan seperti itu dan TBW memberi pengalaman menyeronokkan untuknya meneruskan hobi menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Sebelum ini, saya bimbang untuk berkonvoi tetapi selepas menyertai TBW ini, saya memperoleh keyakinan serta pengalaman dan paling manis apabila berpeluang mengenali lebih ramai penunggang wanita.

“Melalui TBW ini, kami saling bertukar-tukar ilmu dan pengalaman mengenai motosikal seterusnya dapat kenalan baru yang mempunyai minat sama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Induk TBW Othman Endut berkata, TBW yang diadakan selama tiga hari itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti utama iaitu Konvoi Muhibbah Ke Kampung Pantai Batu Rakit dan Makan Malam TBW.

“Pada konvoi ke Kampung Pantai Batu Rakit, TBW juga menyerahkan bantuan wang tunai kepada penduduk miskin di kawasan itu.

“Setiap tahun TBW menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan kami bercadang pada tahun hadapan untuk mengumpul 2,500 hingga 3,000 peserta pula,” katanya.

Menurutnya, TBW 2016 dijangka dianjurkan pada Mei atau Jun tahun depan dan pada masa sama turut menganjurkan Konvensyen Permotoran Nasional yang akan dihadiri pemimpin serta pakar pemotoran dari seluruh negara untuk membincangkan kaedah pengurusan kelab permotoran di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:01 AM