Soiman (tengah) melakukan pemeriksaan perbarisan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai. FOTO ASWADI ALIAS.
Soiman (tengah) melakukan pemeriksaan perbarisan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai. FOTO ASWADI ALIAS.
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seramai 13,342 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini dengan 1,307 aset di darat dan 617 aset marin.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Soiman Jahid berkata, jumlah itu adalah mereka yang akan berkhidmat di negeri yang dikenal pasti berlaku banjir.

Menurutnya, JBPM turut mempunyai 1,050 bomba bantuan dan 13,499 bomba sukarela di seluruh negara bagi membantu melicinkan tugas menyelamat dan membantu mangsa.

“Dari segi logistik, kita akan menggunakan semua aset darat, marin dan udara termasuk tujuh helikopter bergantung kepada keadaan semasa bagi menghadapi banjir membabitkan 282 balai bomba serta 359 pasukan bomba sukarela di seluruh negara.

“Setakat ini, tiada kejadian buruk akibat banjir seperti yang berlaku sebelum ini tetapi kita tetap bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan," katanya selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini, hari ini.

Katanya, seramai 781 mangsa banjir dipindahkan di tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Selangor akibat fenomena air pasang besar pada Oktober dan November lalu.

Beliau berkata, JBPM turut membantu menghantar 50 pelajar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akibat banjir kilat yang berlaku di Pulau Pinang pada 20 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 2:19 PM