NGA Kor Ming memeriksa perbarisan ketika hadir bagi merasmikan BBP Asajaya di Kota Samarahan. FOTO Melvin Joni
NGA Kor Ming memeriksa perbarisan ketika hadir bagi merasmikan BBP Asajaya di Kota Samarahan. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

Kota Samarahan: Kesemua 337 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh negara akan beroperasi pada tahap optimum bagi menghadapi bencana banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pihak sudah mengambil pendekatan strategik termasuk pembekuan cuti kepada 80 peratus hingga 100 peratus ketika fasa MTL.

Menurutnya, pertukaran shif daripada 12 jam kepada 24 jam sehingga 50 peratus di BBP dan mobilisasi anggota antara balai dan negeri serta pengaktifan Pasukan Gerak Cepat MTL Red Team.

"Kita juga akan bekerjasama dengan 358 balai bomba sukarela bagi memastikan mempunyai jumlah keanggotaan mencukupi bagi menghadapi bencana di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian BBP Asajaya yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, di sini, hari ini.

Abdul Wahab berkata, dari segi persediaan logistik, sebanyak 1,150 kenderaan darat dan air pelbagai fungsi bersedia untuk digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana.

"Aset udara iaitu helikopter dan dron juga bila-bila masa sahaja bersedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan," katanya.

Menurutnya, bagi pengurusan aset kebombaan dan penyelamatan lebih sistematik, pihaknya menetapkan tiga lokasi bagi Pangkalan Hadapan Wilayah yang berfungsi sebagai kawasan penempatan awal logistik bagi menghadapi banjir mengikut zon.

Katanya, ia membabitkan BBP Perda, Pulau Pinang (Zon Utara), BBP Ayer Hitam, Johor (Zon Selatan) dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu (Zon Timur).

"Pangkalan Hadapan Wilayah ini juga ditambah baik dengan penubuhan 22 Pasukan Gerak Cepat MTL Red Team yang ditempatkan di 13 negeri dan tiga Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 2:13 PM