Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menempatkan anggotanya di pusat pengundian yang berisiko berlaku bencana alam sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, lebih 1,000 pegawai dan anggota termasuk pasukan bomba sukarela dan bomba bantuan bersedia digerakkan bersama aset sekiranya berlakunya banjir terutama ketika hari pengundian.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggota bersama aset berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dan pihaknya sentiasa peka dengan perubahan cuaca terutama kejadian banjir yang mungkin berlaku di kawasan dikenal pasti.

Katanya, pihaknya akan memberi keutamaan kepada mangsa banjir terlebih dahulu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku jika berlaku banjir terutama pada hari pengundian.

"Kalau ada keperluan daripada aset marin untuk menghantar pengundi ke pusat pengundian atau pun pengurusan peti undi yang memerlukan khidmat udara, marin serta aset darat untuk tujuan pilihan raya memang kita bersedia untuk bantu.

"Kita akan menyelaraskan pasukan untuk bersedia menghadapi banjir di kawasan yang terbabit dengan pilihan raya tadi (dan) sekiranya ada keperluan bantuan diperlukan daripada JBPM, Insya-Allah, kita memang bersedia membantu untuk menggerakkan aset yang kita ada berdasarkan keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2022 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Terengganu di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November depan manakala hari pengundian awal pada 28 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 4:31 PM
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin (duduk, tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di  Taman Tamadun Islam (TTI). FOTO GHAZALI KORI
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin (duduk, tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Taman Tamadun Islam (TTI). FOTO GHAZALI KORI