Asrol Awang


Kuantan: Seramai 12,500 anggota operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sudah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini hingga Mac depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, ia membabitkan anggota dari 332 balai bomba di seluruh negara.

Katanya, 3,200 anggota yang bertugas pada waktu pejabat turut dikerah dalam usaha memantapkan operasi sepanjang musim tengkujuh itu.

"Mereka ialah Pegawai Penguatkuasa, Pegawai Pemeriksaan Bangunan, Pegawai Latihan, Pegawai Penyelidik dan anggota di Akademi Bomba dan Kejuruteraan Malaysia.

"Bagi persiapan dan kelengkapan, sebanyak 1,808 aset membabitkan kenderaan darat, air dan udara disediakan.

"Daripada jumlah itu, 1,400 aset membabitkan kenderaan darat, 400 kenderaan dan peralatan air dan lapan helikopter.

"Lapan helikopter ini berpangkalan di Bertam, Pulau Pinang, Subang (Selangor) dan Miri (Sarawak)," katanya selepas Majlis Perkhidmatan Cemerlang JBPM Pahang Tahun 2021 di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, ia susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu tahap kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut diaktifkan di peringkat daerah, negeri dan nasional.

"Sekiranya sesuatu berlaku banjir ekstrim atau fenomena lain yang mungkin memudaratkan kawasan terbabit, kita akan menggerakkan negeri berdekatan membantu daripada segi logistik.

"Sebagai contoh, jika berlaku di Pahang, aset dari Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan akan membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 2:32 PM
 MOHAMMAD Hamdan (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba II Kamerul Bieza Mohamed Kassim (kanan) pada Majlis APC 2021, JBPM Pahang hari ini. FOTO: BERNAMA
MOHAMMAD Hamdan (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Timbalan Penguasa Bomba II Kamerul Bieza Mohamed Kassim (kanan) pada Majlis APC 2021, JBPM Pahang hari ini. FOTO: BERNAMA