KEADAAN banjir di Kampung Setor, Padang Rengas. FOTO Ihsan APM
KEADAAN banjir di Kampung Setor, Padang Rengas. FOTO Ihsan APM
Balqis Jazimah Zahari


TIGA pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah di Perak berikutan banjir yang berlaku sejak petang semalam.

Setakat ini, seramai 43 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di ketiga-tiga PPS itu.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri berkata, PPS terbaharu dibuka adalah Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Setor, Padang Rengas di daerah Kuala Kangsar, 12.10 tengah malam tadi.

Beliau berkata, seramai lima mangsa dipindahkan di PPS itu.

Katanya, satu PPS turut dibuka di DOR Kampung Baru di daerah Kampar pada 9 malam tadi.

“Seramai 18 mangsa daripada empat keluarga di tempatkan di PPS berkenaan.

“Tiga kawasan yang terjejas banjir di daerah itu adalah Kampung Baru Kuala Dipang dan Kampung Cabang Dua Kuala Dipang,” katanya dalam satu kenyataan di Ipih, hari ini.

Menurutnya, bagi daerah Larut Matang dan Selama (LMS) pula, seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di PPS DOR Kampung Simpang Halt, yang dibuka 6.30 petang semalam.

Katanya, secara keseluruhan beberapa kawasan lain di daerah Kinta, Kuala Kangsar dan Selama turut mengalami banjir kilat, namun tiada PPS dibuka dan pemantauan masih dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 9:05 AM