BOTTAS antara yang dikaitkan dengan tempat Rosberg.
BOTTAS antara yang dikaitkan dengan tempat Rosberg.
AFP

London: Pengurus Mercedes Toto Wolff berjanji akan membuat keputusan berani ketika berdepan dengan situasi terdesak mencari pengganti juara dunia Nico Rosberg.

Rosberg mengejutkan dunia Formula Satu apabila mengumumkan persaraannya lima hari selepas menjadi juara tahun ini.

Wolff yang bekerja keras untuk mendapatkan pemandu baru bagi bersaing di samping bintang Mercedes Lewis Hamilton musim depan selain ujian pramusim dijangka bermula Februari, mahukan senario dihadapinya diselesaikan secepat mungkin.

Juara dunia dua kali Fernando Alonso yang memasuki tahun terakhir kontrak tiga tahunnya bersama McLaren, dikaitkan dengan Mercedes.

Pemandu Williams Valtteri Bottas turut dilaporkan sebagai calon, tetapi Wolff mungkin mengambil keputusan memilih bekas pemandu ujian Mercedes Pascal Wehrlein yang berusia 22 tahun.

“Jelas, keputusan Rosberg untuk bersara membuatkan kami berada dalam keadaan tertekan. Jika kami tahu mengenainya tiga bulan lalu, mungkin pilihan lebih banyak,” katanya kepada Sky Sports F1 kelmarin.

“Mungkin kami perlu membuat keputusan yang berani sebagai mana yang Rosberg lakukan.”

Siapa yang menggantikan Rosberg akan mempunyai kesukaran untuk mengisi tempatnya dengan Wolff mengakui keputusan pemandu itu bersara sebagai tamparan hebat.

“Rosberg akan meninggalkan jurang yang besar kerana bukan saja dia pantas, tapi berupaya untuk menekan Lewis,” katanya.

“Mereka berupaya untuk memberi saingan terhadap satu sama lain. Justeru, keadaan itu mendorong mereka beraksi baik dan mencapai matlamat kami untuk meraih kemenangan.

“Keupayaan teknikalnya memberikan kami hala tuju dan sebagai sebahagian daripada pembangunan kereta, kami akan terasa kehilangannya.

“Siapa yang menggantikan Rosberg perlu bekerja keras untuk menyaingi pencapaiannya itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:12 AM