HAMILTON (kiri) bersama Bottas.
HAMILTON (kiri) bersama Bottas.
Reuters

London: Juara Formula Satu dunia tiga kali Lewis Hamilton menyokong keputusan Mercedes mengikat Valtteri Bottas dan pasukan itu boleh mengharap kejayaan daripada kedua-dua pemandu musim ini, kata bos pasukan Mercedes, Toto Wolff.

Bottas menyertai Mercedes dari Williams bagi menggantikan tempat pemandu dari Jerman, Nico Rosberg yang bersara Disember lalu selepas memenangi gelaran pertamanya. Kehadiran pemandu Finland itu diumumkan Isnin lalu.

“Kami sudah bercakap dengan Lewis sebelum Krismas... dan dia berkata, dia fikir Valtteri individu yang baik, seorang pemandu yang bagus dalam Formula Satu dan dia berasakan ia pilihan yang tepat,” kata Wolff.

Bercakap kepada pengulas Oskari Saari, beliau berkata dinamik pemandu sudah berubah dengan Hamilton, 32, dan Bottas, 27, dua watak yang amat berbeza.

“Saya rasa mereka akan bekerja dengan baik,” ujarnya. “Keadaan sebelum ini OK antara Nico dan Lewis tapi ada sejarah masa lalu...(sekarang) ia adalah hubungan baru dan tiada permusuhan silam.

“Akan ada saat-saat yang mana ia menjadi sukar tapi saya fikir personaliti adalah untuk pasukan dan keadaan akan menjadi baik serta mungkin lebih mudah untuk dikendalikan berbanding sebelum ini. Tapi saya mungkin silap.”

Hamilton dan Rosberg menjadi rakan sepasukan sejak acara kart dalam kemudian bermusuh dalam Formula Satu yang mana hubungan persahabatan mereka tampak kurang baik dan wujud ketegangan dalam pasukan.

Mercedes tidak mendedahkan butiran kontrak Bottas, walaupun laporan media menyatakan ia selama setahun dengan pilihan untuk disambung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 11:48 AM