AFP

Melbourne: Nico Rosberg tidak ragu-ragu Mercedes akan terus mendominasi Formula Satu (F1) tahun ini bermula dengan perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Australia di Melbourne, Ahad ini.

Pemandu Jerman itu muncul naib juara di belakang rakan sepasukan Lewis Hamilton dalam kejuaraan pemandu tahun lalu selepas memenangi perlumbaan pertama di litar jalanan Albert Park.

Ketika dia menerima hakikat pemandu lain bekerja keras untuk merapatkan jurang, Rosberg menegaskan pasukan Mercedes perlu diberi perhatian pada perlumbaan hujung minggu ini selepas meningkatkan tahap casis dan enjin ketika ujian pramusim.

“Kami kelihatan bagus. Kami amat optimis musim ini,” katanya semalam. “Kami mempunyai satu pasukan yang menakjubkan saat ini.”

Rosberg menyedari kekuatan pasukan lawan, namun tetap tidak berganjak dengan pendapat pasukannya masih terbaik.

“Kami pasukan terbaik dalam F1 sekarang. Kami mempunyai individu terbaik, pasukan terbaik keseluruhan, enjin terbaik, mereka melakukan tugas mengagumkan,” ujarnya.

“Seperti dalam perniagaan, apabila ada satu syarikat lebih bagus daripada syarikat lain, jelas ia sama di sini. Pasukan lumba kami mengungguli cabaran ketika ini.”

Rosberg meraih kemenangan di Melbourne musim lalu selepas Hamilton gagal menamatkan perlumbaan dan keluar dari litar selepas hanya empat pusingan.

Pemandu Jerman itu akan memperbaharui saingan bersama rakan sepasukannya dari Britain itu bagi kejuaraan dunia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 10:23 AM