HAMILTON (depan) tewas kepada Vettel pada GP Melbourne.
HAMILTON (depan) tewas kepada Vettel pada GP Melbourne.
AFP

Shanghai: Bos pasukan Mercedes, Toto Wolff berharap Lewis Hamilton mampu bangkit menebus kesilapan pada Grand Prix China Ahad ini selepas kalah pada perlumbaan pembuka tirai Formula Satu di Australia.

Kemenangan Sebastian Vettel buat Ferrari menyebabkan Mercedes berwaspada menjelang perlumbaan di Shanghai hujung minggu ini namun Wolff menegaskan Hamilton mempunyai kekuatan untuk bangkit selepas berakhir di tangga kedua di Melbourne.

“Lewis adalah Lewis terbaik yang pernah saya saksikan dalam empat tahun terakhir, sama ada dalam mahu pun di luar litar,” kata warga Austria itu. “Dia menjadi tunjang pasukannya dan dibuktikannya di Melbourne.

“Anda perlu berhati-hati dengan jangkaan anda sendiri.

“Jika anda fikir anda akan menang mudah pada masa depan, berdasarkan rekod kejayaan, anda pasti terbukti salah. Anda perlu mencari kesilapan, mengenal pasti kelemahan dan kemudian bertindak balas.”

Hamilton, yang sibuk dengan scuba diving minggu ini, sebelum ini menang empat kali di China namun juara dunia tiga kali itu pasti mengingati permulaan hambar musim 2016.

Bekas rakan sepasukan Nico Rosberg meraih empat kemenangan berturut-turut sebelum pemandu Britain itu mempamerkan belangnya di Monaco dalam perlumbaan keenam tahun itu.

Permulaan gemilang Rosberg membantu pemandu Jerman itu mengatasi Hamilton bagi kejuaraan dunia sebelum secara mengejut bersara daripada dunia permotoran.

Valtteri Bottas menggantikan Rosberg dan pemandu Finland itu menduduki tangga ketiga di Australia dalam penampilan sulungnya bersama Silver Arrows.

Namun Ferrari memperagakan kekuatan awal musim dengan juara 2007 Kimi Raikkonen menghuni tangga keempat dan semua petanda menunjukkan saingtan sengit antara dua pasukan utama itu di China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:06 AM