NICO Rosberg menewaskan rakan sepasukan, Lewis Hamilton untuk muncul juara dunia Formula Satu pada 2016. FOTO AGENSI
NICO Rosberg menewaskan rakan sepasukan, Lewis Hamilton untuk muncul juara dunia Formula Satu pada 2016. FOTO AGENSI
Agensi

London: Nico Rosberg akhirnya bercerita bagaimana hubungannya dengan rakan sepasukan di Mercedes, Lewis Hamilton, retak pada musim Formula Satu 2016.

Rosberg menang Kejuaraan Dunia dengan kelebihan lima mata pada 2016, tetapi bersara tidak lama selepas itu ketika berusia 31 tahun.

Malah, ia satu-satunya gelaran yang tidak dimenangi Hamilton antara musim 2014 dan 2020.

Mereka kerap kali bertembung ketika berjuang untuk mendapat pujian dan dikritik hebat berikutan pelanggaran di Grand Prix (GP) Sepanyol dan Austria.

Dalam temu bual dengan Eurosport mengenai permusuhannya dengan Hamilton, Rosberg berkata: "Ia (persengketaan) itu berlaku tidak lama apabila kami berebut untuk muncul juara dunia, bukannya sebelum itu.

"Tetapi, ia adalah kes biasa: Apabila anda berjuang untuk kejayaan dalam setiap perlumbaan dan memburu gelaran, ia tidak lagi berkesan.

"Ia semakin membara dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan. Jika anda membuat keputusan untuk memenangi kejuaraan dunia untuk diri sendiri, anda tidak boleh bermain dengan perasaan sayang, aman dan harmoni."

Di sebalik permusuhan mereka pada 2016, Rosberg berkata, hubungan mereka lebih baik sekarang dan bangga dengan pencapaiannya bersama Mercedes.

"Saya tidak menyesal apa-apa daripada permusuhan dengan Lewis."

"Ia adalah masa sensasi dan pertarungan mega. Saya bangga dengan situasi itu. Pada masa sama, kami kembali neutral dan ia OK.

"Anda perlu menguji tahap maksimum dan memasuki kawasan kelabu untuk menang, terutama apabila membabitkan dua pemandu pada peringkat tertinggi. Kemudian, ia sering menjadi sengit."

Hamilton kini di tangga keenam kedudukan pemandu dalam Kejuaraan Dunia 2022, ketinggalan 99 mata di belakang pendahulu, Max Verstappen dan dilihat tidak mungkin mencipta rekod dengan gelaran dunia kelapan pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 10:17 AM