GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Bukit Mertajam: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun kerana terbabit dalam kes pecah rumah termasuk beberapa tadika di sekitar kawasan Kubang Semang dan Bukit Indera Muda di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menahan remaja yang sudah tidak bersekolah itu di Jalan Kubang Semang, kira-kira 1.15 tengah hari.

"Siasatan mendapati dia bersama sepupunya berusia 18 tahun yang ditahan polis baru-baru ini, terbabit dalam beberapa kes pecah rumah dan tadika.

"Ini termasuk yang terbaru, pemilik tadika di Bukit Indera Muda kerugian ribuan ringgit selepas premisnya dirompak.

"Sepupu remaja itu kini menjalani hukuman penjara berhubung kes dadah," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi mereka mengenal pasti rumah yang tiada penghuni sebelum mengumpil tingkap belakang dan masuk mencuri barangan

berharga.

Nik Ros Azhan berkata, susulan penahanan remaja itu, polis merampas pelbagai barangan, antaranya pelbagai beg, mesin rumput dan alat gerudi dipercayai hasil curi di sebuah rumah di Bukit Indera Muda.

Katanya polis juga sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai 'Pali Kopiak' berusia 20-an, pembeli barang-barang hasil pecah rumah dua remaja itu.

Siasatan mendapati, dua remaja lelaki itu turut aktif dalam kegiatan samun di daerah SPT sejak tahun lalu dan dia kini direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 8:34 PM